Hidupkan semula Tapak Terbuka Pantai Klebang 1

MELAKA: Medan selera di Tapak Terbuka Pantai Klebang 1 dekat sini yang berusia hampir 30 tahun perlu dihidupkan semula dengan mengisi kembali enam daripada 15 lot yang kosong di situ.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peniaga mendakwa lot yang kosong terbiar antara dua hingga lima tahun dan difahamkan terdapat peniaga yang masih membayar sewa, walaupun tidak menjalankan perniagaan.

Seorang peniaga kuih keria, Muhammad Hanapi, 51, berkata, keadaan itu menyebabkan gerai terlibat menjadi kotor, berhabuk serta mencacatkan pemandangan terutama kepada pelancong dari luar yang ingin menjamu selera di medan selera berkenaan.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) perlu memberikan tapak kosong itu kepada peniaga lain yang memerlukan, sekali gus dapat merancakkan kembali suasana di situ.

“Medan selera ini antara yang paling lama wujud sebelum tambakan pasir di sepanjang Pantai Klebang sebelum ini.

“Dahulu medan selera ini menjadi kunjungan orang ramai tetapi sekarang sangat sepi kerana banyak lot gerai yang kosong sejak pandemik Covid-19. Pengunjung macam tidak berminat hendak datang ke sini kerana keadaan yang sangat suram,” katanya yang telah menjalankan perniagaan hampir 10 tahun di lokasi berkenaan.

Seorang lagi peniaga, Firdaus Ashari, 34, berkata, keadaan kotor di beberapa lot kosong tersebut menjadi punca kunjungan orang ramai terus berkurangan, walaupun pada musim cuti persekolahan.

“Saya meneruskan perniagaan ayah menjual nasi ayam sejak medan selera ini wujud, medan selera tidak wajar dibiarkan kosong sebaliknya wajar diberikan kepada peniaga lain yang memerlukan.

“Saya harap MBMB dapat mempertimbangkan permintaan kami, agar medan selera ini dipenuhi peniaga lain dan merancakkan kembali suasana di sini,” katanya.- UTUSAN

The post Hidupkan semula Tapak Terbuka Pantai Klebang 1 appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*