Hukum Baring Di Dalam Masjid, Ini Jawapan Dr Zulkifli

hukum berbaring di masjid

Hukum Baring Di Dalam Masjid, Ini Jawapan Dr Zulkifli

Setiap kali anda sedang menuju ke sebuah tempat, lebih-lebih lagi apabila tempat itu agak jauh, anda mungkin akan berhenti di RnR ataupun di sebuah masjid untuk berehat, kan?

Kadang-kadang, ada juga para pelajar universiti yang akan berehat di surau di kampus mereka sementara menunggu waktu kelas bermula.

Mungkin kerana kawasan masjid atau surau yang bersih dan selesa membuatkan anda rasa tenang untuk berehat di situ. Sangatlah tenang sehingga anda sempat baring dan menjulurkan kaki untuk berehat.

Tetapi, apakah hukum baring di dalam masjid? Ini jawapan Dr Zulkifli.

#5089: Hukum Berbaring dan Menjulurkan Kaki di dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum berbaring dan menjulurkan kaki di dalam masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Surah al-Nur: 36

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/62)

Kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan definisi masjid.

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, hukumnya adalah harus selama mana menjaga penghormatan masjid. Hal ini berdasarkan hadis:

Daripada ‘Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya,  katanya:

أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُسْتَلْقِيًا فِي المَسْجِدِ، وَاضِعًا إِحْدَى رِجْلَيْهِ عَلَى الأُخْرَى. وَعَنْ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ المُسَيِّبِ، قَالَ: كَانَ عُمَرُ، وَعُثْمَانُ يَفْعَلاَنِ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Bahawasanya beliau melihat Rasulullah SAW berbaring di dalam masjid, sambil meletakkan salah satu kakinya di atas kakinya yang lain. Dan daripada Ibn Syihab, daripada Sa‘id bin al-Musayyib, katanya: “Biasanya Umar dan Uthman juga melakukan perbuatan yang sama.”

Riwayat al-Bukhari (475)

Justeru, kami katakan, perbuatan tersebut tidaklah dilarang selama mana tidak mengganggu orang lain dan juga tetap menjaga serta meraikan adab kemuliaan masjid itu sendiri. Kami akhiri dengann doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Sumber: Maktabah Al-Bakri

BACA JUGA: “Ustaz Anggap Aiman Dah Berjaya,” Dr Zulkifli Terima Surat Pelajar Autisme SPM Mohon Doa

The post Hukum Baring Di Dalam Masjid, Ini Jawapan Dr Zulkifli appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*