Identiti penumpang hadapan rentung dikenal pasti

TEMERLOH – Polis mengenal pasti identiti salah seorang individu ditemukan rentung di dalam kereta yang terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Kilometer 28 Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran Kampung Dato’ Sharif Ahmad semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, mangsa yang dikenal pasti merupakan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

“Kad pengenalan mangsa turut ditemui dan mangsa merupakan lelaki berbangsa Melayu berusia 35 tahun yang beralamat di Kampung Pinang Mukim Sok, Sik, Kedah.

“Pemandu kereta berkenaan juga seorang lelaki dewasa, namun identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhar, kemalangan membabitkan kereta Proton Persona dan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan tanah itu berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dari arah Temerloh ke Jerantut itu dipercayai memotong kenderaan lain di garisan berkembar sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

“Berikutan kemalangan itu, kereta tersebut telah diseret lebih kurang 20 hingga 30 meter sebelum terbakar.

“Pemandu dan penumpang kereta gagal menyelamatkan diri akibat tersepit menyebabkan kedua-dua mangsa rentung dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi talian 09-2716086 yang boleh dihubungi 24 jam atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 019-2343449 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang juga pengguna jalan raya turut dinasihat supaya sentiasa lebih berhati-hati semasa memandu dan mematuhi segala peraturan serta tanda jalanraya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Identiti penumpang hadapan rentung dikenal pasti appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*