Insiden Pulau Angsa: Bangkai Helikopter Milik APMM Berjaya Dibawa Naik

insiden pulau angsa

Insiden Pulau Angsa: Bangkai Helikopter Milik APMM Berjaya Dibawa Naik

Bangkai helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya dikeluarkan dari perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada Rabu.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, operasi tersebut telah dilakukan bersama bantuan dari pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi itu pada jam 12.15 tengah malam.

Jelasnya, pesawat itu kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). Pesawat berkenaan telah dibawa ke SUMS dalam lingkugan jam 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Sementara itu empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat.

“Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak agensi semalam (Selasa),” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Maritim Malaysia mohon orang ramai hormati privasi kru yang terlibat dalam insiden tersebut

Tambahnya, pihak Maritim Malaysia turut memohon semua pihak tidak mengganggu kesemua kru yang terlibat dalam insiden ini.

Hal ini adalah untuk memberikan ruang kepada mereka untuk menstabilkan keadaan diri selepas melalui insiden tersebut.

Terdahulu, helikopter itu dilaporkan telah melakukan pendaratan kecemasan pada jam lebih kurang 9.55 pagi semalam di perairan itu.

Mengulas lanjut mengenai bangkai helikopter AW139 nombor pendaftaran M72-01 itu, jentara ini merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia.

Pihak terbabit telah menerima helikopter berkenaan daripada pihak kerajaan pada 2010, kira-kira 14 tahun yang lalu.

Banyak misi penerbangan yang telah dijalankan oleh pesawat sebelum terhempas

Berdasarkan rekod, helikopter berkenaan telah terlibat dengan pelbagai misi penerbangan sepanjang perkhidmatannya bersama APMM.

“AW139 telah mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan selain telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, pesawat berkenaan juga terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia,” ujarnya.

Antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang berkhidmat adalah pesawat itu berjaya menyelamatkan lima pemancing yang terkandas ekoran cuaca buruk di Pulau Batu Berantai, barat laut Pantai Remis, Jeram pada 2022.

“AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu,” jelasnya.

Hamid berkata, pesawat itu turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (Medevac) mangsa tanpa mengenal lokasi.

Antara lokasi yang pernah menjadi tempat pemindahan perubatan mangsa adalah seperti di pulau dan di pelantar minyak yang berada di perairan negara.

BACA: Kisah Hajarul Aswad Yang Pernah Dicuri Selama 23 Tahun

Sumber: Sinar Harian

The post Insiden Pulau Angsa: Bangkai Helikopter Milik APMM Berjaya Dibawa Naik appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*