Isi minyak terlalu lama bongkar sindiket penyelewengan diesel bersubsidi

IPOH – Tindakan sebuah lori mengisi minyak hampir satu jam, membongkar sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Taman Perindustrian Tungzen, Simpang Pulai, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, dalam operasi pada pukul 1.30 petang itu, dua lelaki berusia 42 dan 32 tahun disyaki pemandu lori dan pemilik premis ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, sebanyak 7,600 liter minyak disyaki diesel serta peralatan lain turut disita dalam operasi itu.

“Operasi ini adalah hasil intipan anggota penguatkuasa KPDN yang dijalankan selama dua minggu berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Simpang Pulai dan Gopeng.

“Hasil intipan pada hari kejadian telah berjaya mengesan sebuah lori kanvas dalam keadaan mencurigakan yang disyaki sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak berjenama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, lori itu dilihat mengisi minyak terlalu lama kira-kira satu jam sebelum tindakan diambil dengan mengekori kenderaan berkenaan.

Katanya, hasil tindakan tersebut telah berjaya menemui satu lokasi merupakan premis pusat pengumpulan minyak disyaki diesel di Taman Perindustrian Tungzen yang juga disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua ‘skid tank’ berisi minyak disyaki diesel berada di premis itu selain dua ‘square tank’ berisi minyak ditemui di atas kenderaan berkenaan.

“Selain menyita 7,600 liter minyak disyaki diesel, kita turut menyita tiga buah lori yang disyaki telah diubahsuai pada tangki asal untuk digunakan bagi membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak yang berdekatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah RM102,640,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut ke atas pemilik kenderaan, premis dan stesen minyak yang berkaitan akan diteruskan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

The post Isi minyak terlalu lama bongkar sindiket penyelewengan diesel bersubsidi appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*