Isteri Maut Dipercayai Dibakar Suami Sendiri

isteri maut dibakar suami

Isteri Maut Dipercayai Dibakar Suami Sendiri

Gara-gara dicabar, seorang lelaki yang berada dalam keadaan mabuk bertindak untuk membakar isterinya sendiri dalam kejadian di Kampung Tinagalan, Sook, Sabah pada Jumaat lalu, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, wanita berusia 41 tahun itu meninggal dunia pada Ahad selepas menerima rawatan di Hospital Keningau.

Hasil siasatan awal berdasarkan laporan ahli keluarga mangsa, Yampil berkata ketika kejadian mangsa dan suspek berusia 50 tahun telah minum ‘tapai’ (minuman beralkohol) di rumah mereka.

Ketika mereka sedang bergaduh mulut, suspek telah dicabar oleh mangsa untuk membakarnya.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 10 malam, anak mereka berusia 16 tahun terlihat kedua-duanya bertengkar mulut dalam keadaan mabuk yang teruk.

“Ketika bertengkar, suspek mengatakan hendak membakar mangsa dan mangsa pula mencabar untuk membakarnya jika berani.

“Suspek kemudian ke tingkat bawah rumah untuk mengambil gelen berisi petrol dan naik semula lalu menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum bertindak mencampakkan mancis yang menyala ke arah mangsa sehingga menyebabkan badan mangsa terbakar,” katanya pada Isnin.

Kejadian tersebut menyebabkan rumah mereka terbakar sepenuhnya, manakala tiga anak mangsa yang berada dalam kediaman itu bertindak lari keluar.

“Anak mangsa bertindak membawa dua adiknya yang tidur keluar dari rumah kerana api yang bermula dari bilik kedua ibu bapanya mula merebak dalam rumah.

“Usaha memadamkan api pada badan mangsa dilakukan oleh anaknya sebelum mendapatkan bantuan daripada bapa saudaranya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Namun pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia pada jam 1.41 tengah hari Sabtu,” ujarnya.

Sementara itu, Yampil berkata suspek ditahan dan direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Lelaki Tergamak Bakar Isteri Sendiri Hingga Melecur 27 Peratus Guna Minyak Petrol

The post Isteri Maut Dipercayai Dibakar Suami Sendiri appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*