Jalan Utama Ditutup, Aliran Trafik Gua Musang Mulai Sesak

aliran trafik gua musang

Jalan Utama Ditutup, Aliran Trafik Gua Musang Mulai Sesak

GUA MUSANG (Bernama) — Hari pertama penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis, di sini menyebabkan aliran trafik sesak selain turut menyebabkan sebahagian pelajar Sekolah Maahad Muhammadi, di sini, lewat hadir ke sekolah.

Jalan itu ditutup bagi memberi laluan kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C yang sedang dijalankan.

Pengetua Sekolah Maahad Muhammadi Gua Musang Mohd Zaki Mat Zin, 52, berkata susulan itu ibu bapa dinasihatkan supaya keluar rumah lebih awal esok untuk mengelakkan pelajar yang terlibat keciciran dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)

“Seramai 136 pelajar dari Taman Wangi, Kesedar Jaya, Kesedar Putra, Kawasan Perindustrian Chin Teck, Tanah Putih, Taman Saujana Harmoni dan Pulai terkesan dengan kesesakan trafik pagi tadi,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Tinjauan Bernama mendapati penutupan terbabit turut menjadi punca aliran trafik mengalami kesesakan yang luar biasa sepanjang lebih 15 kilometer (km) bermula dari depan Petronas Persiaran Raya Gua Musang hingga bulatan Tanah Putih, pagi tadi.

Bagi pengguna jalan raya Nik Syazwani Nik Ilias, 34, berkata dia hanya mengetahui tentang penutupan laluan berkenaan ketika melaluinya pagi ini malah tidak mendapat notis terbaharu tentang penutupan itu.

BACA: Bomba Terbangkan Bayi Orang Asli Ke Hospital Gua Musang

“Memang betul sebelum ini kita diberitahu jalan ini akan ditutup untuk kerja-kerja pembinaan lebuh raya mengikut notis JKR bermula 29 Mac lepas, tetapi oleh kerana sehingga semalam (Isnin) jalan masih boleh dilalui seperti biasa saya ingatkan penutupan ditunda dan sangat tidak menyangkakan ia telah ditutup pada waktu malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Awam Penguasa Kanan Unit Projek Khas ECER 1 Cawangan Jalan Ir Mohd Hamizi Abdullah dalam kenyataan berkata penutupan jalan dilakukan kerana kenderaan perlu dilencongkan daripada memasuki kawasan pembinaan yang akan menyebabkan kesesakan teruk akibat daripada “bottle neck” di tempat pembinaan selepas lampu isyarat Taman Wangi.

“Jabatan Kerja Raya LTU sudah membuat persediaan sebelum jalan ditutup dengan menaik taraf jalan alternatif iaitu Jalan Simpang Pulau ke Simpang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dengan mengambil kira kemasukan kenderaan melalui daerah ini menjelang hari raya nanti,” katanya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) hingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (Bawah Flyover Taman Damar) akan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah hingga 29 April ini dari pukul 8 pagi hingga 7 malam.

Sumber: BERNAMA via Awani

BACA JUGA: Tempat ‘Favourite’ Mak-mak Beli Perabot, CEO Jawab Kenapa Jenama Terkenal Courts Mammoth Tukar Nama Jadi COURTS Malaysia

The post Jalan Utama Ditutup, Aliran Trafik Gua Musang Mulai Sesak appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*