JKR Johor Diarahkan Selenggara Parit, Longkang Persediaan Hadapi Banjir

jkr johor parit

JKR Johor Diarahkan Selenggara Parit, Longkang Persediaan Hadapi Banjir

JOHOR BAHRU, 14 Nov (Bernama) — Kerajaan Negeri Johor telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk menyelenggara kesemua parit dan longkang sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir susulan musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata arahan dikeluarkan selari dengan mesyuarat persediaan banjir yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini.

“JKR telah memastikan penyelenggaraan semua saliran longkang dan parit di bawah seliaan, begitu juga sungai dan longkang seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, kita risau jika kapasiti air hujan melebihi kapasiti longkang atau parit. Jadi, orang ramai diharapkan turut membantu salur maklumat kepada JKR dan tindakan akan diambil segera,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemindahan tiga kuil susulan pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB), di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata orang awam juga diminta untuk menyalurkan maklumat sama ada menerusi ketua kampung atau akaun Facebook JKR Johor, sekiranya terdapat laluan yang dinaiki air atau cerun dan tanah runtuh.

Mengenai jalan raya yang rosak akibat banjir pada Mac lepas, beliau berkata kerja pembaikan dilakukan secara berfasa dengan ada antaranya telah siap, sedang diperbaiki dan menunggu masa untuk di naik taraf.

“Kebanyakan jalan rosak adalah Jalan Persekutuan yang menghubungkan daerah terutamanya di Segamat.

Kerajaan negeri telah menerima sebahagian daripada RM160 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan yang diminta untuk selenggara jalan akibat banjir Mac lepas, jadi selebihnya (peruntukan) mungkin akan diberi secara berfasa,” katanya.

BACA: Johor Terima Peruntukan Tambahan RM2 Juta Naik Taraf Zoo

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) baru-baru ini melaporkan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak semasa fasa awal Monsun Timur Laut dari November hingga Januari 2024.

Terdahulu, Mohamad Fazli berkata sebanyak 1,265 setinggan, 62 rumah ibadat terdiri daripada enam surau, 15 tokong dan 41 kuil telah dipindahkan bagi projek PLBEGJB pada 2011.

Beliau berkata tiga buah kuil lagi iaitu Kuil Dewa Sri Maha Kaliamman di Taman Impian Emas, Kuil Arulmigu Sri Sivalingeshwarar, Jalan Bujur dan Kuil Arulmigu Sri Muniswaran di Jalan Tunku Abdul Razak, pula akan dipindahkan di sebuah tapak di EkoFlora, di sini.

“Ini adalah tiga kuil terakhir yang akan dipindahkan bagi projek PLBEGJB di tapak yang telah disediakan. Jadi, kita harap dengan pemindahan ini, projek berjalan dengan lancar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post JKR Johor Diarahkan Selenggara Parit, Longkang Persediaan Hadapi Banjir appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*