JPN Sahkan SPRM Tahan Dua Pegawai Komplot Sindiket Jual Bayi

sprm tahan sindiket jual bayi

JPN Sahkan SPRM Tahan Dua Pegawai Komplot Sindiket Jual Bayi

PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini mengesahkan bahawa dua pegawai jabatan itu, merupakan antara beberapa individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang semalam, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Zamri Misman dalam kenyataan hari ini berkata dua pegawai JPN yang ditahan SPRM itu, disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid.

Beliau berkata ia hasil kerjasama strategik antara JPN dan SPRM, dengan JPN berkongsikan hasil risikan dalaman yang telah dilakukan kepada SPRM, yang membawa kepada penahanan pegawai terbabit.

“Jabatan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM, bagi melengkapkan siasatan,” katanya dan menambah JPN sama kali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangan, yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.

BACA JUGA: SPRM Tahan Guru Besar Minta Dan Terima Rasuah RM10,000

Media melaporkan SPRM menahan beberapa individu termasuk doktor pakar dan pegawai JPN, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi, dengan mereka itu disyaki bersubahat menyediakan dokumen palsu, bagi membolehkan beratus bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram, didaftarkan di JPN.

Zamri menegaskan bahawa JPN tidak akan melindungi mana-mana kakitangan, yang didapati terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara, dan tindakan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan, sekiranya pegawai yang ditangkap dibuktikan bersalah.

Beliau berkata JPN sentiasa serius dan komited, memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen pengenalan diri secara berterusan, serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.

“Malah siasatan peringkat dalaman secara berkala dan kerjasama berterusan dengan agensi penguat kuasa lain, juga merupakan usaha tidak berbelah bahagi jabatan ini, memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post JPN Sahkan SPRM Tahan Dua Pegawai Komplot Sindiket Jual Bayi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*