Kali Terakhir Dilihat Zaman Ais, Komet Hijau Dijangka Lintas Bumi Selepas 50,000 Tahun Februari Ini

Kali Terakhir Dilihat Zaman Ais, Komet Hijau Dijangka Lintas Bumi Selepas 50,000 Tahun Februari Ini

Manusia yang hidup pada era ini bakal menjadi antara mereka yang bertuah apabila dijangka berpeluang menyaksikan komet hijau melintasi Bumi antara lewat Januari ini hingga awal Februari nanti.

Dengan kod nama C/2022 E3 (ZTF), atau dikenali sebagai Komet ZTF, komet hijau yang ditemui oleh ahli astronomi di Zwicky Transient Facility pada Mac tahun lepas kali terakhir melintasi Bumi kira-kira 50,000 tahun lalu pada Zaman Ais dahulu.

Berdasarkan pengiraan pengkaji ahli astronomi, ketika itu Neanderthals mungkin masih wujud dan manusia baru sahaja bermigrasi meninggalkan benua Afrika.

Tanpa teleskop ataupun binokular, manusia-manusia yang hidup ketika itu mungkin tidak menyedari kewujudan komet itu dan langsung tidak berpeluang untuk melihatnya.

“Beberapa ramalan mencadangkan orbit komet ini sangat eksentrik, yang bermakna ia tidak lagi berada di dalam mana-mana orbit. Jadi ia mungkin tidak akan kembali dan terus bergerak pergi,” kata Jessica Lee, seorang ahli astronomi di Royal Observatory Greenwich kepada Newsweek.

Oleh itu, manusia yang hidup dalam era ini tidak boleh melepaskan peluang menyaksikan komet tersebut memandangkan ia mungkin tidak lagi akan kelihatan dalam hayat mereka selepas ini.

Bilakah masa yang sesuai untuk menyaksikan komet hijau

Di bahagian Hemisfera Utara, komet hijau akan mula kelihatan sebelum subuh pada lewat Januari, menurut NASA.

Bagi memudahkan pencarian komet, fasa Bulan baharu sepenuhnya akan menjadikan suasana langit lebih gelap dan ideal bagi tujuan melihat komet bermula 21 Januari.

Kemudian, komet yang sama akan mula kelihatan pada bahagian Hemisfera Selatan pada awal Februari.

Komet ZTF akan melintasi Bumi pada jarak kira-kira 26 juta batu, iaitu jarak terdekat dengan Bumi, pada 2 Februari. Bagaimanapun, jarak ini masih teramat jauh iaitu kira-kira 109 kali ganda lebih jauh berbanding jarak purata Bumi dan Bulan.

Cahaya komet ini dijangka paling terang dan dapat dilihat pada 31 Januari dan 1 Februari.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Bagaimanakah cara untuk menjejaki komet ini?

Pada awalnya, anda memerlukan sepasang teleskop untuk menjejaki Komet ZTF, tetapi apabila ia mendekati Bumi, ia boleh dilihat menerusi binokular atau mungkin sahaja menerusi mata kasar.

Untuk mendapatkan pemandangan komet yang terbaik, pilih kawasan yang memiliki langit gelap, tanpa sebarang kepulan awan dan pastikan lokasi tersebut berada jauh dari lampu-lampu bandar.

Selain itu, anda perlu melihat pada bintang yang tepat untuk menjejaki komet hijau ini.

Menurut EarthSky.org, komet ini akan merentasi buruj Boötes, berdekatan sempadan dengan buruj Hercules dan bergerak menuju Polaris, ataupun dikenali sebagai Bintang Utara.

Komet tersebut akan kelihatan di sekitar bintang tersebut pada 30 Januari. Ia diramalkan akan muncul lebih awal pada waktu petang apabila ia menghampiri bintang Polaris.

Di Hemisfera Selatan, komet itu akan berada kira-kira 1.5 darjah dari Marikh pada 10 Februari. Jika anda dapat mengesan Marikh yang bersinar terang di langit, cuba lihat di sekelilingnya untuk mencari komet tersebut.

Peta kedudukan komet dan buruj-buruj itu boleh dirujuk disini.

Sumber: Insider, Universiti York Kanada

The post Kali Terakhir Dilihat Zaman Ais, Komet Hijau Dijangka Lintas Bumi Selepas 50,000 Tahun Februari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*