Kapal OPV tidak siap: Kerajaan beri RM152.6 juta pinjaman

PETALING JAYA: Kerajaan memberikan satu lagi suntikan pinjaman bernilai RM152.6 juta bagi menyiapkan projek pembinaan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini selepas kerajaan mengenal pasti wujud masalah besar terhadap projek itu setelah diambil alih oleh Kementerian Kewangan sebelum ini.

“Daripada tinjauan kerajaan, projek ini boleh disiapkan, sekurangnya kapal pertama pada tahun ini dan ini dipantau. Kerana masalah yang berlaku yang kita tanggung, terpaksa kita lakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengarahkan supaya pihak berkuasa terus melakukan siasatan supaya perolehan di dalam Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan tidak diambil kesempatan.

“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian, tetapi pelaksanannya yang lemah. Jadi, mesti selamatkan OPV. Siapkan mengikut jadual dan tidak melepaskan sesiapa yang menyalah guna kuasa mengaut kekayaan tanpa siasatan,” katanya.

Maritim Malaysia dalam kenyataan pada 13 September 2022 memaklumkan tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata, kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

Pada 2017, THHE Destini Sdn. Bhd. mengumumkan syarikat itu telah mendapat kontrak berjumlah RM738 juta untuk membina tiga buah OPV dalam tempoh tiga setengah tahun.

Kapal OPV adalah berdasarkan kapal kelas 1800 Damen Group yang berpangkalan di Belanda. – UTUSAN

The post Kapal OPV tidak siap: Kerajaan beri RM152.6 juta pinjaman appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*