KBS Beri Geran RM 500 Ribu Untuk Naiktaraf Stadium, Tukar Rumput Elak Air Bertakung

Kuala Lumpur, 27 Feb – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan geran RM500 ribu bagi menaiktaraf stadium utama di semua negeri sebagai persediaan kejohanan Liga Malaysia.

Dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri, YB Hannah Yeoh semalam, Kementerian telah bersetuju untuk memberi peruntukan RM300,000 bagi menaiktaraf sistem saliran padang serta RM200,000 untuk menukar rumput kepada jenis rumput bilah halus (fine-blade grass) di lokasi stadium yang dipilih oleh Kerajaan Negeri.

Jelas KBS, bantuan ini adalah bagi memastikan padang bola sepak berada dalam keadaan baik seperti tiada air bertakung atau banjir semasa Liga Malaysia berlangsung.

Selain itu, ia bertujuan bagi membantu para penggiat industri sukan terutama dalam mengurangkan kos operasi yang ditanggung.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan KBS, Kerajaan Negeri juga dicadangkan untuk berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing bagi melihat semula kadar bayaran lesen yang dikenakan untuk premis-premis berkaitan sukan terutamanya gimnasium dan pusat snuker.

“KBS turut memaklumkan bahawa setiap inisiatif/program/aktiviti yang sedang/akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian memerlukan kerjasama dan sokongan daripada pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap objektif yang ditetapkan tercapai melalui penglibatan semua pemegang taruh berkaitan belia dan sukan khususnya di peringkat akar umbi,” tulis kenyataan itu.

Sementara itu, KBS turut membincangkan pindaan bagi Kod Sukan Selamat dengan memasukkan elemen baharu iaitu larangan merokok termasuk rokok elektronik (vape) semasa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan.

Malah, individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan berkaitan produk rokok elektronik (vape) tidak dibenarkan untuk menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan, menjual, memberi sebagai hadiah atau meletakkan cap dagangan dalam apa-apa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan dan belia.

KBS juga akan mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program Rakan Muda di peringkat negeri menerusi pelaksanaan program 10 Gaya Hidup, penggunaan fasiliti, penggunaan logo Rakan Muda, penyediaan dana dan pelaporan.

The post KBS Beri Geran RM 500 Ribu Untuk Naiktaraf Stadium, Tukar Rumput Elak Air Bertakung appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*