Ke mana hala tuju Safee?

PETALING JAYA: Persoalan mengenai hala tuju bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali akan terjawab esok selepas bergelar ‘ejen bebas’ dan tidak menandatangani kontrak dengan mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebelum ini ramai yang tertanya-tanya kemana dan pasukan mana yang bakal diwakili Safee namun, bekas pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu masih membisu dan memilih untuk mendedahkannya dalam majlis khas di Kuala Lumpur, esok.

“Saya tidak boleh dedahkan lagi status masa depan saya dan hanya akan maklumkan kepada umum pada 21 Februari nanti. Saya akan buat sidang media secara rasmi,” katanya.

Sebagai rekod, pemain berumur 39 tahun itu telah mewakili pasukan KL City FC sejak musim 2021 tetapi kontraknya bersama skuad kendalian Bojan Hodak tidak disambung pada tahun ini.

Ditanya sama ada beliau akan menjadi jurulatih selepas ini, Safee percaya segalanya terbuka pada masa akan datang memandangkan dirinya sedang mengikuti kursus lesen kebangsaan kelas C ketika ini.

Katanya, menjadi jurulatih secara profesional memang sudah menjadi salah satu cita-citanya sebelum ini kerana mahu mencari penggempur berbisa yang baharu buat skuad kebangsaan.

“Sudah pasti bidang kejurulatihan memang menjadi salah satu cabang yang mahu saya ceburi kerana sudah menjadi mencurahkan ilmu pengetahuan serta pengalaman saya kepada pemain.

“Jika ada rezeki, mana tahu pada masa depan kita boleh ada penyerang baharu seperti Safee. Apa yang pasti saya mahu menyumbangkan balik kepada komuniti,” katanya-UTUSAN

The post Ke mana hala tuju Safee? appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*