Sultan Selangor bimbang aset ‘tua’ TLDM

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap aset-aset keselamatan khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menegaskan ini terutama terhadap aset yang telah berusia dan perlu ditukar.

“Ini bagi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dipetik berkata, 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai yang karam pada 18 Disember lalu.

Mohd. Reza turut memaklumkan tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekali gus isu keusangan aset-aset tersebut akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin selaku Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan menerima menghadap Mohd. Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Mohd. Reza dilantik sebagai PTL pada 30 November 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada pengganti beliau pada 23 Januari depan.

Pada sesi itu juga, Mohd. Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan PTL, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai PTL Ke-18. – KOSMO! ONLINE

The post Sultan Selangor bimbang aset ‘tua’ TLDM appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*