Kembali ke Fasal 3 UMNO

PEMIMPIN dan ahli UMNO harus ambil iktibar, yang menguatkan parti itu bukan lagi nombor atau bilangan ahlinya yang berjuta. Yang akan menguatkan kembali UMNO hari ini ialah khidmat, musyawarah dan kesungguhan mematuhi semangat Fasal 3 perlembagaannya.

Untuk presiden letak jawatan sebelum habis tempoh sahnya tidak timbul. Beri ruang hakikinya untuk membuat penjelasan daripada hal isu-isu yang sedia tersenarai dalam perhimpunan agung parti dari 11 hingga 14 Januari ini. Gayung disambut kata bersahut.

Menjadi cabaran kira-kira tiga juta ahli UMNO dan semua pemimpinnya menginsafi mereka telah terlalu jauh meninggalkan tuntutan perjuangan parti. Latihan menghayati Fasal 3 ini dikatakan dalam keadaan sambil lewa atau dalam peribahasa ‘terpijak pergi terlanda pulang’. Sebab itu ada yang masuk menjadi ahli UMNO bukan untuk berjuang tetapi berangan-angan untuk rezeki poket dan kedudukan.

Setiap anggota UMNO yang hendak menjadi pemimpin mesti dikursuskan dahulu apa itu UMNO dan apa tujuan dan falsafah perjuangannya. Setiap cawangan yang dianggarkan lebih 20,000 dan 191 bahagian harus diwajibkan menganjurkan kursus berasaskan perjuangan jati diri UMNO. Habis kursus disulami dengan amalan budi, menjunjung Islam, bergotong royong, bersikap membela dan cintakan kebenaran.

6 PRINSIP BESAR
Perjuangan UMNO tertakluk kepada perlembagaannya, khusus berkaitan Fasal 3. Fasal ini menerangkan enam prinsip besar untuk menjamin masa depan orang Melayu dan keutuhan perjuangan bangsa, agama dan negara. Cabaran bagi pimpinan dan generasi muda parti ialah memahami sebenarnya ungkapan dan amali “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”.

Berikut Fasal 3 Perlembagaan UMNO:
3.1: Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
3.2: Mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.
3.3: Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.
3.4: Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
3.5: Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu.
3.6: Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

 

PRESIDEN UMNO, timbalan presiden serta naib-naib presidennya harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti. Mesti balik kepada kebijaksanaan perumpamaan, “jarum bila menusuk ia menaub, bukan seperti gunting bila ke depan ia memotong”.

TRANSFORMASI
Keenam-enam tiang seri perjuangan di atas harus dipampangkan, diajarkan dan diamalkan. Tapi sayangnya, ramai wakil rakyat UMNO hanya faham Fasal 3 begitu-begitu sahaja. Jadi, bila berkuasa lupa diri, lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan. Itu sebabnya dua kali pilihan raya umum UMNO tersungkur pada 9 Mei 2018 dan 19 November 2022.

Jika disenaraikan masalah dalaman UMNO semenjak zaman Tunku hingga kini, kebanyakan isunya berpunca dari pergeseran pimpinan dan onar kepimpinan, bukan daripada orang bawah. Seperti ikan, kepalanya berbau dan mudarat dahulu daripada bahagian lain. Ada kudis belaka, sekurang-kurangnya kurap menggatal dalam baju masing-masing.

Bila pemimpin bersengketa, warga di bawah terumbang-ambing mencari kejernihan dalam suasana tiada penjelasan menyeluruh.

Di perhimpunan agung nanti, perwakilan mesti bertindak ofensif. Mesti ada perbahasan yang serius tentang hala tuju UMNO demi menghadapi lima tahun mendatang ini. Setidak-tidaknya fokus untuk tahun 2023 ini terutama menghadapi pemilihan parti dan enam pilihan raya negeri (PRN) sebelum Julai nanti.

Perlu difikirkan transformasi politik apa yang mahu dipakai? Perjuangan macam mana untuk lebih teguh dan perkasa kembali?

Mesti diamalkan budaya menarik rambut dalam tepung. Menegur sesiapa sahaja dalam pimpinan perlu dialu-alukan, tetapi jangan dinyahkan mereka semata-mata kerana membuat kritikan.

Bersetia bermakna mesti pegang kepada petua Bersatu. Presiden, timbalan presiden serta naib-naib presiden harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti.
Mesti balik kepada kebijaksanaan perumpamaan “jarum bila menusuk ia menaub, bukan seperti gunting bila ke depan ia memotong”.-UTUSAN

The post Kembali ke Fasal 3 UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*