Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan pembinaan LCS

LUMUT – Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Bousted Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) di sini dan yakin kapal pertama dapat diperoleh pada pertengahan tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal pertama yang dibina telah mencapai 70 peratus tahap pembinaan manakala kapal kedua, ketiga dan keempat turut sama dalam proses pembinaan secara berperingkat-peringkat.

“Saya amat gembira melihat perkembangan ini dan saya penuh yakin kapal pertama ini boleh siap dalam pertengahan 2024.

“Kapal kedua, ketiga dan keempat pun begitu, akan mengambil masa dalam dua ke tiga tahun (untuk disiapkan). Harapan kita adalah supaya projek ini dapat dilaksanakan setelah segala permasalahan dapat diselesaikan seperti isu-isu vendor,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja selama dua hari bermula semalam ke Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Pada masa sama, Mohamad memberitahu, beliau akan memberikan taklimat kepada tiga kementerian berkaitan dengan projek LCS iaitu Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan berhubung perkembangan projek berkenaan sebelum membawanya di Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau turut menegaskan, pembinaan kapal LCS perlu diteruskan kerana ia merupakan satu keperluan bagi memastikan kedaulatan negara terus dipelihara.

“Anda boleh kata apa yang anda mahu, tetapi Kementerian Pertahanan fokus bagi memastikan projek LCS ini diteruskan,” katanya.

Mohamad berkata, kerajaan masih mempunyai peruntukan sebanyak RM3 bilion daripada RM9 bilion diperuntukkan bagi projek berkenaan dan percaya mereka tidak mempunyai masalah untuk menyiapkan kapal pertama dan kedua.

“Kita juga dalam peringkat terakhir dalam perbincangan dengan orang tengah projek LCS dan hanya tinggal untuk melunaskan bayaran tertunggak kepada mereka. Selepas itu tiada lagi orang tengah dan kita akan pergi terus kepada vendor untuk berunding,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program pemulihan rumah kakitangan tentera merupakan satu keutamaan bagi kementerian tersebut untuk memastikan hal ehwal kesejahteraan anggotanya sentiasa dibela.

“Saya turut melawat perumahan anggota yang terdiri bukan sahaja daripada tentera laut malah darat dan udara. Yang dah dibuat pemulihan secara berperingkat-peringkat sebanyak 13 blok.

“Secara keseluruhan ada 39 blok dan diharapkan projek pemulihan itu dapat dilaksanakan setiap tahun iaitu sebanyak dua blok setahun,” katanya yang turut memaklumkan, terdapat kira-kira 25,000 orang anggota termasuk ahli keluarga dan kakitangan awam menetap di dalam pangkalan tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan pembinaan LCS appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*