Kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO Tepati Prinsip Keadilan Sosial Ekonomi Penjagaan

Kuala Lumpur, 4 Oktober – Pelancaran Kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO adalah bertepatan dengan aspirasi keadilan sosial yang giat diterapkan kerajaan dalam sektor care economy atau ekonomi penjagaan.

Kempen yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini dilancarkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Wanita usia bekerja iaitu dari umur 15 hingga 64 tahun mewakili 49.33 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia, namun sekiranya dihitung sumbangan peratusan wanita ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sudah pasti ia hampir dua hingga tiga kali ganda berbanding lelaki.

“Tetapi, tiada angka tepat mengenai sumbangan wanita, dengan mengambil kira keseluruhan matriks, kerana unpaid care work (khidmat penjagaan tidak berbayar) sehingga kini belum dapat dicerap.

“Justeru, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini bertepatan dengan prinsip keadilan sosial untuk wanita yang menguruskan hal ehwal keluarga dalam ekonomi penjagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Karnival Aspirasi MADANI dan Kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO, di sini, hari ini (semalam).

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan Mustapha Sakmud; Yang Berhormat Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli; Yang Berbahagia Datuk Azman Hj Abidin, Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berbahagia Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Karnival Aspirasi MADANI yang berlangsung di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak menyaksikan penyertaan 20 majikan, dengan lebih 6,000 jawatan kerja merangkumi kekosongan di pelbagai industri utama negara ditawarkan.

Mengulas matlamat penganjuran karnival berkenaan, Mustapha berkata ia sebahagian daripada rangkaian usaha direncana kerajaan ke arah menangani isu pengangguran, selain merancakkan perkembangan pasaran buruh negara.

Bagi tempoh dari Januari hingga 31 Ogos tahun ini, beliau berkata, PERKESO melaksanakan 15 karnival kerjaya berskala besar di seluruh Malaysia, dengan puluhan ribu kekosongan jawatan ditawarkan.

“Keseluruhannya, PERKESO menganjurkan 2,558 karnival kerjaya berskala sederhana, temu duga harian dan temu duga khas di seluruh negara, termasuk 400 daripadanya dilaksanakan di Kuala Lumpur.

“Hasil daripada Dasar Pasaran Buruh Aktif (ALMP) dirintis PERKESO ini melakar kejayaan apabila bagi tempoh dari Januari 2022 hingga 31 Ogos lalu, seramai 448,331 pencari kerjaya memperoleh pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs.

“Daripada perangkaan itu, sebanyak 29,035 pencari kerja adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Bersempena dengan program ini, beberapa penyerahan juga diadakan seperti tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), penyampaian faedah PERKESO menerusi Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) dan SKSSR, serta penyerahan surat tawaran kerja kepada pencari kerjaya yang berjaya memperoleh pekerjaan melalui MYFutureJobs.

The post Kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO Tepati Prinsip Keadilan Sosial Ekonomi Penjagaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*