Kena Tahu, Ini Kelemahan ‘Wallpaper’ Kalau Nak Pasang Di Rumah Untuk Masa Yang Lama

wallpaper rumah kelemahan

Kena Tahu, Ini Kelemahan ‘Wallpaper’ Kalau Nak Pasang Di Rumah Untuk Masa Yang Lama

Punyai warna dan corak yang menarik, wallpaper atau kertas dinding kebiasaannya menjadi pilihan ramai buat para wanita yang mahu rumah kekal kelihatan menarik dan berseri.

Tidak seperti cat, kertas dinding menawarkan pelbagai corak seperti bunga halus, batu bata, vintaj dan lain-lain yang mampu menambah seri dekorasi di sesebuah kediaman.

Pun begitu, di sebalik kecantikan pemasangan kertas dinding, terdapat beberapa perkara yang anda perlu tahu, lebih-lebih lagi jika mahu memasangnya untuk jangka masa panjang.

Sebagai seorang yang berpengalaman memasang kertas dinding di rumah, Muhd Sanusi (محمد سنوسي), berkongsi kepada orang ramai berkaitan kelemahan pelekat tersebut.

Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini.

BACA: Cara Mudah Cabut ‘Wallpaper’ Dinding Tanpa Rosak, Lelaki Kongsi Tips Mudah Hanya Guna 2 Bahan

Wallpaper dan kelemahannya

Rumah saya hampir semua dinding dipasang kertas dinding, termasuk di bilik bibik dan bilik seterika baju. Masa tu (tahun 2016) kertas dinding Korean tengah popular dan ada promosi, harga sangat murah, jadi kami buat keputusan untuk pasang kertas dinding di rumah kami yang baru siap.

Jumlah kos pada masa itu tak terlalu mahal. Daripada lebih kurang 70 gulung kertas dinding, kami hanya pasang sendiri sebanyak 6 gulung. Selepas itu taubat tak larat dan kami upah profesional pemasang kertas dinding.

Tak dinafikan kertas dinding sangat cantik berbanding cat. Namun setelah beberapa tahun, sesetengah kertas dinding rumah kami mula bermasalah:

1. Dinding yang bersebelahan bilik air, sebahagiannya kertas dinding jadi berkulat atau mengelupas. Padahal, kebanyakan dinding terlibat takde sebarang kebocoran pun. Dinding yang ada kebocoran memang sah sah la kertas dinding tidak tahan. Kertas dinding ini sensitif dengan kelembapan terutama pendedahan dalam tempoh yang lama. Mungkin juga berpunca daripada kesilapan kontraktor rumah kami yang tak sapu kalis air pada dinding dalam bilik-bilik air.

2. Di kawasan yang penyaman udara ada bocor air, kertas dinding di sekitar penyaman udara jadi berkulat. Sikit sahaj pun airnya tapi kertas dinding jadi buruk.

Kredit: محمد سنوسي/Facebook

3. Di tingkap yang kadangkala air hujan berjaya masuk sedikit (biasanya kerana hujan yang teramat lebat dengan tiupan angin kencang), kertas dinding di situ juga ada kesan air dan mengelupas.

Kredit: محمد سنوسي/Facebook

4. Selepas kelembapan, tahi cicak adalah musuh utama kertas dinding. Tahi cicak akan meresap dan meningkatkan kesan kekal yang menyakitkan mata dan hati. Lap pun tak dapat hilang sepenuhnya. Terlebih tonyoh, kertas dining mula menipis dan koyak. Jadi satu kerja pula nak berperang dengan cicak.

Kredit: محمد سنوسي/Facebook

5. Penyambungan antara kepingan kertas dinding muncul jurang yang halus. Boleh nampak, terutama kertas dinding yang berwarna gelap sebab dinding asal bercat putih. Bukan kerana kurang gam. Tapi kertas dindingnya itu sendiri mengalami sedikit pengecutan.

Kredit: محمد سنوسي/Facebook

6. Kertas dinding di bucu laluan yang aktif, terkoyak atau tertanggal kerana tergesel dengan objek atau orang yang lalu lalang. Selain berdaki kerana kerap disentuh orang.

Kredit: محمد سنوسي/Facebook

7. Sesetengah kertas dinding mula menunjukkan perubahan warna dan muncul kesan yang comot. Mungkin kesan cuaca dan serangga setelah suatu tempoh yang panjang. Lap pun tak hilang.

Kredit: محمد سنوسي/Facebook

Rumah kami tiada anak kecil. Jadi tiada masalah kertas dinding kena koyak atau diconteng oleh tangan-tangan comel. Pernah nampak masalah ini di rumah orang lain yang ada anak kecil.

Sesetengah bilik yang kertas dindingnya sudah teruk saya telah tanggalkan dan sapu cat biasa sahaja. Bukan mudah juga nak tanggalkan kertas dinding dan hilangkan gamnya. Saki baki gam kertas dinding menyebabkan kerja mengecat menjadi lebih sukar dan lambat. Cat lambat kering dan berbelak-belak. Lapisan cat ketiga baru catnya rata.

Jadi sesiapa yang merancang untuk memasang kertas dinding boleh menjangka apa masalah dan kelemahan kertas dinding selepas beberapa tahun.

Bukan tidak boleh pasang tapi cuba elakkan punca-punca masalah yang saya nyatakan (kelembapan bilik air, penyaman udara bocor, cicak). Pilih kertas dinding yang berkualiti dan tahan lama sebab ada macam-macam gred. Pemasangan pastikan dibuat dengan betul dan berkualiti. Elakkan dipasang di kawasan-kawasan yang mudah berlaku kerosakan kertas dinding (laluan aktif, sebelah tempat lembab).

Sumber: محمد سنوسي/Facebook

The post Kena Tahu, Ini Kelemahan ‘Wallpaper’ Kalau Nak Pasang Di Rumah Untuk Masa Yang Lama appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*