Kenaikan Gaji Penjawat Awam Dinanti, Terus Pantau Harga

Kenaikan Gaji Penjawat Awam

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Dinanti, Terus Pantau Harga

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Kenaikan gaji penjawat awam walaupun dalam jumlah yang sedikit dapat membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Bagaimanapun, apa juga jumlah yang akan diumumkan kelak, kawalan terhadap harga barangan pada masa sama perlu diberi perhatian supaya rakyat dapat terus hidup dalam kesejahteraan dan tidak terbeban.

Di Ipoh, Penolong Penguasa Bomba Pejabat Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Muhammad Saffuan Abdul Razak, 39, berkata kenaikan gaji penjawat awam ialah langkah terbaik dalam meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyat.

“Kenaikan gaji ini memberi motivasi kepada kami untuk meningkatkan produktiviti dalam menjalankan tugasan seharian tapi kami juga berharap kawalan harga barangan tetap diberi keutamaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhammad Saffuan berkata kenaikan harga barangan jika tidak dikawal akan terus memberi tekanan kepada orang ramai sekali gus menjadikan kenaikan gaji itu tidak dapat dinikmati.

BACA JUGA: Tunggang Agama: Cadangan Ambil Tindakan Tegas Telah Dikemukakan Kepada Agong- PM Anwar

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Anwar berkata ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.

Bagi Suzairi Mansor, 43, pengumuman Perdana Menteri itu jelas memperlihatkan keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup yang meningkat terutama di bandar-bandar besar.

“Penjawat awam di bandar besar memerlukan perbelanjaan lebih tinggi dan kenaikan gaji meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” kata kakitangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak itu.

Sementara itu, seorang penjawat awam di Kota Bharu, Kelantan, Syazwan Zaki, 32, berpandangan upah, gaji dan elaun yang diterima penjawat awam perlu setimpal serta seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa.

“Inisiatif ini perlu memandangkan ekonomi semasa dan taraf hidup semakin meningkat naik. Tambahan pula kepada mereka yang mempunyai banyak komitmen termasuk tanggungan anak-anak dan sebagainya,” katanya.

Bagi Rosnoorhusna Abdul Rahman, 36, kesungguhan Perdana Menteri itu dapat mengurangkan ketidakcukupan pendapatan seterusnya mengangkat isu kebajikan penjawat awam yang merupakan tulang belakang negara.

Bagaimanapun, beliau yang mengajar di Kota Bharu berharap sekiranya usaha itu dilaksanakan kelak, ia dapat dinikmati setiap penjawat awam tanpa ada keciciran selain tidak berlaku penambahan tugas-tugas termasuk tugas pengkeranian.

Sumber: BERNAMA

The post Kenaikan Gaji Penjawat Awam Dinanti, Terus Pantau Harga appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*