Kenapa Bunga Raya Dipilih Sebagai Bunga Kebangsaan? Ini Sejarahnya Yang Perlu Anda Tahu

bunga raya bunga kebangsaan

Kenapa Bunga Raya Dipilih Sebagai Bunga Kebangsaan? Ini Sejarahnya Yang Perlu Anda Tahu

Berbaki lagi tiga hari menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-66, pastinya ramai yang sudah menantikan hari penuh bersejarah ini. Ia bakal disambut oleh seluruh warga negara Malaysia setiap kali tanggal 31 Ogos.

Sejak dari bangku sekolah lagi, kita telah didedahkan dengan sambutan ini bagi mengenang jasa perajurit-perajurit yang gugur di medan perang demi mempertahankan tanah air daripada terus dijajah suatu ketika dahulu.

Selain Jalur Gemilang berkibar megah menandakan identiti negara Malaysia, terdapat satu bunga yang menjadi simbolik kepada “Bunga Kebangsaan” iaitu Bunga Raya.

Bunga Raya

Bunga Raya Merah atau nama saintifiknya, Hibiscus rosa-sinensis juga mempunyai nama lain seperti bunga sepatu, kembang sepatu, kembang uribang dan kembang warawiri.

Menurut Smithsonian Gardens, Bunga Raya Merah ni tergolong dalam spesies bunga tropika genus Hibiscus.

Seperti yang diketahui, bunga ini juga mempunyai pelbagai warna lain seperti putih, kuning dan merah jambu.

Gambar: Bernama

Kebiasaannya, pokok renek ini mencapai ketinggian antara 4-10 kaki dan lebar 3-6 kaki dan berasal daripada Asia Tenggara.

Pun begitu, yang menjadi persoalannya, bagaimanakah bunga ini diangkat menjadi “Bunga Kebangsaan Malaysia”? Jom ikuti perkongsian di bawah ini.

Sejarah Bunga Kebangsaan

Gambar: Bernama

Kisah bunga raya bermula apabila Kementerian Pertanian pada akhir tahun 1958 telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan.

Antara bunga yang disenaraikan adalah Bunga Raya, Bunga Kenanga, Bunga Melur, Bunga Cempaka, Bunga Teratai, Bunga Mawar dan Bunga Tanjung.

BACA JUGA: Maksud Malaysia Madani, Slogan Baharu Negara Malaysia

Bagi memilih bunga mana yang bakal diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, Jabatan Penerangan telah melakukan satu kajian bagi mendapatkan reaksi orang ramai.

Kajian itu termasuklah tinjauan bunga manakah yang digemari ramai di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia.

Hasil dapatan kajian mendedahkan penduduk di Pantai Timur lebih memilih bunga mawar. Manakala penduduk di Pantai Barat memilih bunga melur.

Gambar: Bernama

Meskipun bunga mawar dan bunga melur menjadi pilihan hati ramai tetapi bunga raya telah diangkat sebagai Bunga Kebangsaan.

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ketika itu mengambil kira beberapa kriteria yang terdapat pada bunga itu.

Antara kriteria yang diambil kira dalam pemilihan bunga raya termasuklah sudah popular di seluruh negara, warna dan bentuknya yang menarik. Bukan itu sahaja, nama panggilan bunga ini juga sama di seluruh negara dan ia juga mudah diperolehi.

Kriteria utama pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan adalah tidak menjadi Bunga Kebangsaan mana-mana negara lain.

Pengisytiharan Bunga Kebangsaan

bunga raya sejarahnya
Gambar: Bernama

Selepas meneliti kriteria tersebut, Bapa Kemerdekaan atau Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan.

Pengisytiharan itu dilakukan pada tanggal 28 Julai 1960.

Perlambangan Bunga Raya

Seperti Prinsip Rukun Negara, pemilihan bunga ini dianggap tepat kerana ia mempunyai lima kelopak yang melambangkan lima pecahan prinsip itu.

Tambahan lagi, bunga raya juga dianggap sebagai lambang perpaduan terhadap negara.

Sumber: Bernama, Jabatan Penerangan, Smithsonian Gardens,

The post Kenapa Bunga Raya Dipilih Sebagai Bunga Kebangsaan? Ini Sejarahnya Yang Perlu Anda Tahu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*