Kerajaan Komited Pastikan Kelangsungan Hidup Rakyat – Anwar

komited kelangsugnan rakyat anwar

Kerajaan Komited Pastikan Kelangsungan Hidup Rakyat – Anwar

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat, mempertahankan integriti, memupuk masyarakat penyayang serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam dan swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata komitmen itu boleh dicapai melalui pendekatan sistematik yang menumpukan kepada aspek pemikiran, kerohanian dan infrastruktur dengan berpaksikan kerangka Malaysia MADANI yang memfokuskan pembentukan masa depan dan merealisasikan potensi negara.

“Kerangka ini akan disokong enam nilai teras iaitu Mampan, sejAhtera, berDaya cipta, saling menghormAti, punyai keyakiNan dan bersifat Ihsan,” kata beliau dalam prakata Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Belanjawan 2023 akan memberikan fokus terutamanya kepada langkah-langkah menangani peningkatan kos sara hidup, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meningkatkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kerajaan juga akan menelusuri kaedah untuk mengurangkan gangguan dalam  pasaran serta memperkemas proses perniagaan melalui adaptasi teknologi tinggi dan digitalisasi, kata beliau.

Anwar berkata objektif utama adalah untuk memastikan pengagihan kekayaan dan pembangunan wilayah yang saksama dan mampan.

Beliau berkata seiring dengan peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa, negara menyaksikan peningkatan jumlah ketibaan pelancong, aktiviti perdagangan dan perniagaan yang menyumbang ke arah pemulihan yang stabil, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

“Berlandaskan kekukuhan asas makroekonomi, disokong keteguhan permintaan domestik dan keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 4.5 peratus pada 2023,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata inisiatif pembaharuan akan dipercepat bagi memperkukuh tadbir urus kewangan awam dan memastikan kestabilan makroekonomi di samping meneruskan agenda pembangunan negara.

Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pengukuhan ekosistem tata kelola pada semua peringkat bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, kata beliau.

Inisiatif itu kata Anwar, akan menumpukan kepada ketelusan integriti dan kecekapan khususnya dalam perolehan kerajaan, tadbir urus yang baik dan peranan pembangunan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta institusi Parlimen, kata beliau.

“Cabaran getir ini memerlukan kerajaan melaksanakan disiplin fiskal yang ketat di samping mengimbangi keupayaan penjanaan hasil dan komitmen perbelanjaan seterusnya mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan secara beransur-ansur.

“Pelbagai inisiatif telah dikenal pasti untuk menangani isu berkaitan kewangan awam termasuk meneroka sumber hasil baharu asli yang mampan dan meminimumkan ketirisan.

“Ini akan meningkatkan fleksibiliti fiskal negara, membolehkan kerajaan melaksanakan langkah dasar kitaran balas dan mengekalkan daya tahan ekonomi negara,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan kekal komited dalam mengimbangi keperluan menjaga kesejahteraan rakyat dan negara serta memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dan mampan.

“Matlamat untuk mengekalkan kedudukan tinggi penarafan kedaultan negara dan memastikan kedudukan utama Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra pelabur dan perniagaan adalah penting terutamanya dalam mencipta dan menarik pelaburan bernilai tambah tinggi bagi mencapai pertumbuhan yang berkualiti dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata oleh kerana 2023 dijangka menjadi tahun yang mencabar, kerajaan akan terus cakna terhadap sebarang cabaran ekonomi dan ketegangan geopolitik yang mendatang seterusnya akan merangka strategi dan tindakan yang bersesuaian.

BACA: (Video) Ikuti Siaran Langsung Pembentangan Bajet 2023

Sumber: Bernama

The post Kerajaan Komited Pastikan Kelangsungan Hidup Rakyat – Anwar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*