Kerjasama TUDM Dan Met Malaysia Laksanakan OPA Di Empangan Teluk Bahang Dan Empangan Air Itam, Pulau Pinang

SUBANG, 2 MEI 2023 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan Operasi  Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Teluk Air  Itam,Pulau Pinang. OPA kali ini adalah usaha bersepadu melibatkan TUDM bersama Jabatan  Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan  Negeri Pulau Pinang bermula hari ini, 2 Mei 2023 dan dijangka sehingga 4 Mei 2023 mengikut  keadaan. 

Pelaksanaan OPA ini telah dimulakan dengan taklimat penerbangan dan keselamatan oleh Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly bin Abu Bakar TUDM yang menerbangkan pesawat angkut C130 Hercules. 

Kerja-kerja bagi OPA ini telah dimulakan dengan bancuhan garam oleh pihak MET Malaysia dan  TUDM bermula kira-kira jam 11.00 pagi. Sebanyak empat (4) buah tangki bancuhan larutan garam telah disediakan dengan muatan 1,500 liter setiap satu tangki. Setiap tangki ini memerlukan  200 kilogram garam menjadikan keseluruhannya campuran air garam yang mengandungi 800  kilogram garam dan 6,000 liter air. Setelah mengambil masa lebih kurang tiga (3) jam penyediaan  bancuhan, keempat-empat tangki ini kemudiannya telah dimasukkan ke dalam badan pesawat C130H oleh anak kapal No 20 Skuadron. Bagi operasi kali ini, pesawat angkut milik TUDM telah  diterbangkan oleh Komander Pesawat, Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly bin Abu Bakar TUDM;  Juruterbang Pertama, Mejar Mohammad Irwan bin Kamarudzaman TUDM dan Pembantu  Juruterbang, Kapt Ahmad Aslam Hadi bin Hassan TUDM berlepas pada jam 2.45 petang dari  Pangkalan Udara Subang. Penerbangan bagi misi OPA turut disertai lima (5) anak kapal iaitu Mej  Solihin bin Azman TUDM, Mejar Yusof bin Baydowi TUDM, Pegawai Waran Udara 1 Saifu bin  Abdullah, Sarjan Udara Khusyairi, empat (4) orang kakitangan MET Malaysia serta seorang  kakitangan daripada Badan Kawal Selia Air. 

Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha-usaha pembenihan awan bagi  memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan. Pihak TUDM melalui No 20 Skuadron tetap komited membantu misi OPA bermula hari ini dan diteruskan  bergantung kepada keperluan. Semoga usaha tersebut mendatangkan hasil dan dapat diatasi  segera.

The post Kerjasama TUDM Dan Met Malaysia Laksanakan OPA Di Empangan Teluk Bahang Dan Empangan Air Itam, Pulau Pinang appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*