Ketahui Kaedah & Proses Cerap Anak Bulan Di Malaysia

kaedah cerap anak bulan

Ketahui Kaedah & Proses Cerap Anak Bulan Di Malaysia

Umum mengetahui, Ramadan merupakan bulan yang paling mulia dan memiliki pelbagai kelebihannya tersendiri bagi segenap umat Islam di seluruh dunia.

Berbeza dengan bulan lain, Ramadan memerlukan umat Islam untuk berpuasa selama 29 atau 30 hari supaya dapat merasai kesusahan yang dialami oleh golongan yang tidak berkemampuan.

Ia juga membolehkan seseorang insan itu untuk bermuhasabah diri, meningkatkan amalan serta mendisplinkan diri dalam pelbagai perkara supaya dapat menjadi muslim yang lebih bertaqwa.

Akan tetapi, sebelum memasuki fasa menahan lapar dan dahaga iaitu berpuasa, terdapat satu perkara penting yang perlu dilakukan iaitu melihat anak bulan atau disebut hilal.

Perkara tersebut adalah penting untuk dilakukan kerana ia adalah petanda awal yang menentukan tarikh permulaan puasa dan hari raya untuk masyarakat Islam di seluruh dunia.

BACA: Tarikh Lihat Anak Bulan Ramadan 22 Mac

Kaedah penjejakan hilal

Kebiasaannya anak bulan akan dicerap pada hujung bulan Syaaban untuk menentukan tarikh bermulanya ibadah puasa dan hujung Ramadan, untuk tarikh hari raya Aidilfitri.

Oleh itu, proses cerapan anak bulan atau hilal amat penting dalam kalendar Islam kerana ia adalah petunjuk untuk fasa bulan seterusnya.

Di Malaysia (dan negara-negara berkaitan), metodologi yang digunakan untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap anak bulan adalah kaedah imkanur (kedudukan) rukyah.

Kaedah tersebut meliputi gabungan kedua-dua rukyah dan hisab dan melalui itu, anak bulan boleh kelihatan dengan syarat tertentu.

Anak bulan boleh dilihat ketika matahari terbenam dengan ketinggian bulan tidak kurang dari tiga darjah dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.

Sekiranya syarat tersebut dipenuhi pada hari cerapan iaitu hari ke-29 bulan hijrah, maka keesokan harinya dikira sebagai 1 hari bulan hijrah (bagi bulan yang seterusnya).

Namun, jika tidak memenuhi syarat, keesokan harinya adalah dikira sebagai 30 hari bulan hijrah.

Kredit: Selangorkini

Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir menjelaskan daripada sudut syarak, cerapan awal Ramadan dan Syawal itu merujuk kepada panduan yang diterangkan oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad.

Ia merupakan satu kewajipan fardu kifayah yang mesti dilakukan oleh umat Islam dan sehingga kini, cerapan anak bulan dilakukan secara berterusan.

Ujarnya, cerapan anak bulan bukan sahaja dilakukan pada Ramadan dan Syawal tetapi ia turut dijalankan ketika semua bulan hijrah yang lain.

Jenis peralatan proses cerapan anak bulan

Bagi melakukan proses cerapan, ia perlu dibuat bersama pakar yang arif berkenaan dengan anak bulan kerana memerlukan beberapa peralatan  khas untuk menjejaknya.

Di Selangor, proses itu dijalankan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia di mana mereka menggunakan beberapa peralatan termasuk teodolit, teleskop dan binokular.

Difahamkan juga, semua negeri lain di Malaysia turut menggunakan peralatan yang sama dan kos keseluruhannya  mencecah hampir RM10,000 hingga RM50,000.

Walau bagaimanapun, Dr Anhar Opir berkata kemudahan peralatan di Balai Cerap Selangor lebih canggih dalam penjejakan anak bulan yang terletak dalam satu kubah cerapan.

Kredit: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Cerapan anak bulan tidak boleh sesuka hati, perlu diwarta

Difahamkan, penjejakan anak bulan tidak boleh dilakukan secara sesuka hati, sebaliknya perlu ditentukan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja termasuk lokasi dan waktu pelaksanaannya.

“Namun, pewartaan satu-satu tempat cerapan hilal di Selangor dibuat selepas dipersetujui Majlis Agama Islam Selangor dengan perkenan Sultan Selangor dan diperakui sah oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” tambah Anhar Opir.

Cerapan anak bulan makan kos ‘luar biasa’

Walaupun proses cerapan anak bulan ini dilihat mudah dan tidak mengeluarkan kos yang banyak tetapi kos tersebut dikatakan memakan perbelanjaan yang luar biasa.

Dr Anhar Opir menjelaskan bahawa Jabatan Mufti Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM150,000 setahun untuk menampung kos penyelenggaraan.

Kos tersebut termasuk dengan keceriaan dan kebersihan, keselamatan, penyelenggaraan bangunan dan peralatan.

“Bagi penyelenggaraan peralatan, anggaran kos antara RM10,000 hingga RM20,000 bergantung kepada keperluan semasa.

“Semua kos termasuk perbelanjaan Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta majlis cerapan hilal bulanan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri,” terangnya memetik Selangorkini.

Teleskop CCD lebih peka kesan anak bulan

Apabila ditanya berkenaan dengan kecanggihan teknologi yang digunakan di luar negara untuk mencerap anak bulan, Dr Anhar Opir menjawab negara lain menggunakan teleskop yang lebih canggih.

Penggunaan teleskop itu dihubungkan dengan kamera Charge Couple Device (CCD) yang lebih peka dalam mengesan penampakan anak bulan.

Dalam masa yang sama, ia juga dapat menentukan kedudukan anak bulan dengan lebih tepat melalui gelombang radio.

“Penggunaan CCD dan teleskop radio ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata tapi dapat dibuktikan kewujudannya.

“Bagaimanapun, setiap teknik cerapan perlu disahkan kebolehgunaannya menurut syarak dan disabitkan kenampakannya,” ujarnya.

CCD | Kredit: What Digital Camera

Pada zaman kemajuan teknologi yang canggih ini, proses cerapan anak bulan masih perlu dijalankan walaupun hanya satu pihak yang melakukannya.

Pihak tersebut bertanggungjawab melihat anak bulan pada hari rukyah bagi menentukan kenampakan atau ketidaknampakan pada hari berkenaan.

“Walaupun hisab falak dapat menghitung kedudukan hilal secara tepat tetapi syarak menetapkan cerapan hendaklah dilakukan.

“Rukyah dengan mata bersifat qatie berbanding hitungan yang bersifat zanni,” kata Anhar Opir.

Qatie dalam konteks tersebut membawa maksud tepat yang tidak boleh diragui dan zanni pula adalah andaian atau sangkaan.

Pengisytiharan tarikh mula puasa akan diumum lepas lihat anak bulan

Bagi Ramadan kali ini, proses pencerapan anak bulan ditetapkan pada 22 Mac (hari ini) untuk menentukan tarikh awal puasa pada tahun ini.

Difahamkan terdapat 29 lokasi yang telah diperkenankan untuk melihat anak bulan di seluruh negara.

Pengisytiharan tarikh mula berpuasa akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebaik tugas melihat anak bulan selesai.

Pihak tersebut bersetuju menetapkan tarikh permulaan puasa berdasarkan kaedah rukyah dan hisab.

Sumber: Selangorkini

The post Ketahui Kaedah & Proses Cerap Anak Bulan Di Malaysia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*