KFA Sahkan CEO Ditahan Reman SPRM

kfa ceo ditahan reman sprm

KFA Sahkan CEO Ditahan Reman SPRM

ALOR SETAR, 6 Jan (Bernama) — Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Radhi Mat Din mengesahkan ketua pegawai eksekutif (CEO) persatuan itu Zulkifli Che Haron ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung penahanan Zulkifli bersama tiga lagi individu itu.

Muhammad Radhi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah berkata beliau juga amat terkejut dengan penahanan Zulkifli dan menyifatkan individu itu sebagai seorang yang ‘paling bekerja’ dalam persatuan berkenaan.

“Kita kena tunggu sekejap, bagi masa proses (siasatan), tengok bentuk pertuduhan apa semua dulu…KFA juga akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat, mungkin hari ini, mungkin esok.

“Ia (mesyuarat khas) perlu kerana kita kena selami tentang masalah ini sebab saya memang tidak tahu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Kedah, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman selama tiga hari sehingga esok terhadap empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah persatuan bola sepak di sebuah negeri di utara tanah air bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM6 juta pada 2020.

Keempat-empat mereka berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah antara 5 hingga 6.30 petang pada Khamis.

Menurut sumber, wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

BACA: Budak 13 Tahun Jadi Manusia Pertama Tamatkan “Game” Tetris

Sumber: Bernama

The post KFA Sahkan CEO Ditahan Reman SPRM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*