Kisah Marcin Oleksy, Pemain Kudung Dinobat Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2022

pemain kudung dinobat anugerah

Kisah Marcin Oleksy, Pemain Kudung Dinobat Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2022

Pemain bola sepak kudung dari Poland, Marcin Oleksy memenangi Anugerah Puskás FIFA 2022 atas aksi akrobatik ‘sepakan gunting’ yang dilakukannya semasa membantu kelabnya Warta Poznan menentang Stal Rzeszow pada 6 November tahun lalu.

Menurut FIFA, Oleksy, 35, terpilih sebagai pemenang Anugerah Puskás hasil undian dan penilaian daripada peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia serta panelis-panelis pakar.

Difahamkan, walaupun kekurangan upaya, sepakan akrobatik menakjubkan Oleksy itu dinilai setaraf dengan jaringan padu oleh finalis lain iaitu Dimitri Payet (Perancis/ Olympique de Marseille) dan Richarlison (Brazil/Tottenham Hotspur).

Sementara itu, pemenang dua kali anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA Robert Lewandowski turut mengucapkan tahniah dan memberikan sokongan untuknya di media sosial.

Kisah silam Oleksy hilang sebelah kaki sebelum kudung

Imbas kembali, Oleksy yang juga merupakan pekerja binaan pada asalnya mengalami kemalangan yang mengubah kehidupannya pada 20 November 2010.

Pada hari kejadian, dia sedang membaiki lubang di jalan sebelum sebuah kenderaan yang bergerak memandu keluar dari jalan memasuki laluannya dan merempuhnya.

Akibatnya sebelah kakinya hancur sepenuhnya dan dia mendedahkan, kejadian itu membuatkan dia berfikir mengenai kematian.

Sewaktu kejadian, Oleksy tidak sedarkan diri ketika dikejarkan ke hospital walaupun selepas menerima rawatan di pusat perubatan.

Gambar: FIFA

“Kemudian, saya bangun selepas pembedahan. Ketika itulah saya melihat apa yang berlaku, di mana sebelah kaki saya telah tiada.

“Perkara itu tidak membuatkan saya merasa sedih, kemungkinan kerana selepas kemalangan saya lihat keadaan kaki saya. Entah bagaimana, saya sudah bersedia,” katanya kepada FIFA.

Sebelum kemalangannya, Oleksy adalah penjaga gol berbakat yang mengidolakan ikon Real Madrid, Iker Casillas.

Kemunculan semula: pemain kudung dari padang ke Anugerah Puskas FIFA

Selepas kehilangan kaki kirinya, Oleksy tidak dapat bermain bola sepak selama beberapa tahun.

Namun salah satu momen sepakan bola daripada anaknya sendiri, Tomasz berjaya menghidupkan semula semangatnya untuk kembali beraksi di padang.

“Kali pertama saya menendang bola sekali lagi adalah dengan anak saya dan ia membuatkan saya sangat gembira.

“Ia juga seperti titik perubahan bagi saya. Saya mula berlatih semula dan kemudian saya mula bermain bola sepak dalam keadaan sudah diamputasi,” katanya.

Gambar: FIFA

Tidak lama selepas itu, Oleksy mula aktif bermain dan mencipta nama dalam liga bola sepak yang melibatkan pemain-pemain diamputasi.

Oleh kerana persembahannya yang luar biasa, dia dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan diamputasi Poland yang menjadikannya sebagai pemain utama.

Oleksy berharap publisiti bola sepak yang diamputasi akan mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dan meningkat ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya harap dunia dapat melihat kami melakukan apa yang kami suka lakukan.

“Saya gembira dengan sukan ini, saya rasa bukan saya sahaja yang menjaringkan gol tetapi seluruh keluarga bola sepak yang diamputasi menjaringkan gol itu bersama-sama,” katanya.

Sumber: FIFA

The post Kisah Marcin Oleksy, Pemain Kudung Dinobat Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2022 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*