Klopp vs Pep, Menanti Detik-detik Pertarungan Epik Terakhir Liverpool & City

Klopp vs Pep, Menanti Detik-detik Pertarungan Epik Terakhir Liverpool & City

Liga Perdana Inggeris (EPL) selaku liga paling kompetitif dan menghiburkan di dunia selalu menawarkan aksi pertarungan bola sepak elit yang mendebarkan setiap peminatnya.

Aksi pasukan gergasi terdiri daripada Big 4 iaitu Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Chelsea serta Big 6 yang disertai Manchester City dan Tottenham Hotspurs selalu dinanti-nantikan di seluruh dunia.

Untuk dekad-dekad yang lepas, perseteruan utama di EPL selalu hanya melibatkan pasukan dalam kalangan Big 4 sahaja. Namun hari ini, pentasnya lebih terbuka luas. Jika dahulu, rivalri klasik adalah antara Liverpool vs United atau Arsenal vs United.

Hari ini, kehadirian jurulatih berprofil tinggi, iaitu Jergen Klopp di Liverpool dan Pep Guardiola bersama City mencipta satu lagi kisah rivalri epik antara kedua-dua pasukan.

Pertemuan antara kedua-dua kelab ini selalu menyajikan kualiti bola sepak kelas utama yang akan dikenang sampai bila-bila. Rekod demi rekod juga dipecahkan kedua-dua pasukan ini setiap kali turun ke padang.

Bintang-bintang yang berjaya digilap kedua-dua jurulatih menjadi antara bakat elit yang merajai saingan EPL selama beberapa musim.

Liverpool dan City juga selalu saling berkejaran mata, dengan beberapa kejuaraan pernah ditentukan hanya dengan perbezaan satu mata sahaja.

Maka tak hairanlah, bersama kelab masing-masing, kedua-duanya sudah menghadiahkan semua trofi yang begitu didambakan para peminatnya.

Klopp menghadiahkan kejuaraan EPL pertama yang dinanti-nantikan lebih 30 tahun oleh The Reds. Manakala, Pep pula menoktahkan penantian City sekian lama untuk menjadi Juara Eropah.

Malah, bukan rahsia lagi, kedua-duanya saling mengagumi dan mengiktiraf antara satu sama lain. Klopp puji Pep dan Pep puji Klopp.

Pep dalam satu bual bicara misalnya, mengakui Klop dan anak buahnya adalah lawan paling sukar penah dihadapi sepanjang kariernya bergelar jurulatih.

“Alasan pertama kenapa Klopp adalah lawan paling sukar kerana rasanya seolah-olah kami sudah berdepan antara satu sama lain seribu kali.

“Keduanya, beliau sudah banyak kali menewaskan saya. Bertemu dengan beliau berkali-kali adalah sangat mencabar. Jadi, kami menghormati antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya di pihak saya, saya sangat menghormati beliau.

“Sudah tentu, ada banyak perbalahan dan saya benci ditewaskan oleh Klopp. Tetapi beliau menjadi pencabar terbesar saya kerana kami selalu bertemu.

“Juga perasaan yang kami rasai setiap kali dapat menewaskan mereka, kerana kami tahu betapa sukarnya perkara itu,” kata Pep.

Klopp pula, beliau hanya nampak kecemerlangan sahaja setiap kali melihat Pep.

“Pep adalah pengurus terbaik di dunia. Dalam hayat saya, beliau sangat luar biasa.

“Cara beliau mempengaruhi bola sepak, sudah menang pelbagai trofi, namun bersemangat seolah-olah macam belum menang apa-apa…keinginan itu mengagumkan.

“Saya melihat kecemerlangan, dan sudah tentu ada pada Pep,” katanya.

Namun, kisah rivalri yang romantik antara kedua-dua pengurus ini bakal terhenti (mungkin) buat seketika.  Semuanya kerana Klopp mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool selepas tamat musim ini.

Maka, pertemuan Liverpool vs City di Anfield pada malam Ahad (waktu Malaysia) bakal menjadi pertarungan epik terakhir kedua-dua pasukan.

Para peminat pasukan tersebut dan penonton neutral, sudah tentu tidak sabar menanti saat-saat berkenaan. Jadi. dalam agakkan anda, siapakah yang bakal mencipta kesudahan paling indah dalam kisah perseteruan epik ini?

BACA: Kurma Mentega Jadi “Trending” Menjelang Ramadan, Ramai Pakat Nak Cuba

Sumber: Sky Sport, Fabrizio Romano

The post Klopp vs Pep, Menanti Detik-detik Pertarungan Epik Terakhir Liverpool & City appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*