KPM Anjur Konvensyen Libat Urus Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2023

KLANG, 6 JUN 2023 – Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan inisiatif KPM untuk memantapkan hasrat sistem pentaksiran kebangsaan yang bersifat holisitik.

Susulan daripada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga mulai tahun 2022, KPM memberi tumpuan kepada PBS melibatkan empat (4) komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang direka bentuk selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) tercapai.

Konvensyen Libat Urus Pentaksiran Berasakan Sekolah (PBS) Tahun 2023 telah diadakan secara bersemuka di Hotel Wyndham Acmar, Klang selama 2 hari iaitu pada 6 dan 7 Jun melibatkan guru, ibu bapa, pemegang taruh dan masyarakat umum untuk membincangkan isu dan perkara berkaitan PBS secara lebih terbuka.

Seramai 750 warga pendidik menyertai konvensyen ini secara bersemuka dan anggaran sebanyak lebih dari 1,000 orang secara dalam talian. Sesi libat urus dan konvensyen tersebut dikendalikan secara bersama antara Lembaga Peperiksaan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian serta Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

Terdahulu, KPM telah melaksanakan sesi libat urus di enam (6) zon di seluruh Malaysia pada 5 April 2023 hingga 17 April 2023 bagi mengenal pasti isu dan cabaran dalam pelaksanaan PBS dari perspektif guru.

Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek. Perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Pengarah Peperiksaan, YBrs. Dr. Mohd Azam bin Ahmad, Pengarah-pengarah bahagian di KPM, pegawai-pegawai KPM, JPN.

Turut hadir ialah wakil-wakil daripada National Union of the Teaching Profession (NUTP), Pengetua Guru Besar (PGB), Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS), pemegang taruh, dan para guru dari seluruh negara termasuk guru-guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Konvensyen libat urus ini juga telah disiarkan secara langsung melalui saluran EduWeb TV dan laman Facebook KPM.

Konvensyen libat urus ini merupakan satu landasan penting untuk KPM melihat keberkesanan dan impak pelaksanaan PBS serta penambahbaikan yang perlu dilakukan. Paling penting untuk KPM memastikan agar dalam setiap pembaharuan atau dasar yang diperkenalkan termasuk infrastruktur dan ekosistem perlu disediakan sebaik mungkin dalam mendukung hasrat KPM agar murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

The post KPM Anjur Konvensyen Libat Urus Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*