Bekalan telur belum cukup di Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan diminta bertindak segera bagi memastikan bekalan barangan keperluan termasuk telur dan minyak masak paket mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ketika ini wujud kebimbangan terhadap bekalan kedua-dua barangan tersebut yang dilihat masih dicari-cari pengguna di negeri ini.

Menurutnya, walaupun bekalan telur di pasaraya-pasaraya besar dilihat sudah kembali pulih, namun bekalan di kedai-kedai runcit masih meruncing.

“Pada musim cuti sekolah kali ini kita dapat lihat permintaan telur yang tinggi tetapi masih belum cukup di negeri ini walaupun kerajaan sudah membawa masuk telur import. Selepas cuti sekolah, permintaannya mungkin menurun tetapi tidak lama lagi kita akan sambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Ketika itu permintaan sudah pasti meningkat dan diharapkan masalah tersebut selesai secepat mungkin. Bukan saja telur, malah minyak masak paket juga sukar diperolehi. Isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama namun tidak berkesudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau harga dan bekalan barangan di Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga runcit di pasar tersebut, Milatul Shamsul Mohd. Fauzi, 36, mengakui kalangan peniaga runcit masih sukar untuk mendapatkan bekalan kedua-dua barangan tersebut.

Menurutnya, bekalan diterima juga terhad hingga menyebabkan bekalan telur dihantar pembekal habis dalam tempoh singkat iaitu tidak sampai sehari.

“Keadaan itu menyebabkan pelanggan terutamanya peniaga makanan merungut. Jika mereka mendapati bekalan telur tiba, pelanggan terutamanya peniaga makanan biasanya akan membeli dalam jumlah banyak hingga empat atau lima papan malah ada juga yang sudah membuat tempahan awal.

“Telur dan minyak ini merupakan barangan bersubsidi dan disebabkan itu, saya fikir kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk memastikan bekalannya mencukupi,” katanya. –UTUSAN

The post Bekalan telur belum cukup di Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*