Kumpul lebih 24,000 permainan video

BIARPUN nilai koleksi permainan video (video games) yang dikumpulnya kini telah berjumlah AS$2.1 juta (RM9.2 juta), Antonio Romero Monteiro, 45, menegaskan. dia belum selesai dan akan meneruskan hobinya yang ‘mahal’ itu.

Monteiro yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat (AS) memecah rekod Guinness World Records miliknya sendiri sebagai pengumpul koleksi permainan video terbanyak.

Sehingga kini, dia telah mengumpul 24,268 permainan video yang dimulakan sejak tahun 1987 ketika berusia 10 tahun.

Malah, selain pemegang rekod dunia permainan video secara keseluruhan, dia juga pemegang empat lagi rekod dunia iaitu pengumpul koleksi terbesar bagi permainan video Xbox, Sega, Nintendo dan PlayStation.

Sejak membeli permainan video Sega Genesis pertamanya lebih 30 tahun lalu, koleksinya semakin bertambah selepas itu dan memenuhi seluruh biliknya yang disusun dengan teliti mengikut sistem dan abjad.

Koleksi yang dikumpulnya termasuk aksesori-aksesori yang digunakan dalam permainan video termasuk pelbagai konsol.

Melihat koleksi permainan video yang dikumpul Monteiro pasti orang ramai terkenang permainan video yang kini sudah lama ditinggalkan oleh kebanyakan orang.

Monteiro berkata, pada asasnya, koleksinya tertumpu pada pembelian dan pembelian semula beberapa permainan yang dimainkan pada masa mudanya.

“Saya melihat permainan video sebagai satu bentuk seni, di mana kreativiti dan penceritaan yang melampaui batas segala kemungkinan.

“Setiap generasi sistem permainan video memberikan potensi lebih jauh untuk merealisasikan kreativiti dan berkongsi cerita, cabaran dan pengalaman yang tidak terbatas,” kata Monteiro.

Tambahnya, beberapa kenangannya yang paling berharga termasuk bermain permainan video serta momen bersama keluarga dan rakan-rakan.

Monteiro bersama sijil Guinness World Records yang dimilikinya sebagai pengumpul koleksi permainan video terbesar.

Dia mempunyai segala-galanya daripada konsol permainan Nintendo yang pertama hingga yang terkini.

Namun, dengan kuantiti permainan video yang banyak dia tidak mempunyai peluang untuk bermain kesemuanya.

Monteiro bermula dengan kegemarannya bermain permainan video dan tidak lama kemudian dia mula menyimpan koleksi permainan tersebut lalu menjadikannya sebagai hobi utamanya.

Permainan kegemarannya ialah Super Nintendo dan Super Castlevania IV.

“Saya mempunyai beberapa kenangan zaman kanak-kanak yang sangat menggembirakan kala bermain Castlevania,” kongsinya.

Dalam pada itu, dengan koleksi yang begitu banyak dan mengagumkan, mungkin ramai beranggapan permainan videonya sudah cukup lengkap.

Namun, Mointeiro mempraktik sistem dwiinventorinya yang membantunya menjejaki setiap satu permainan di luar sana yang belum dimiliki.

Monteiro menggunakan aplikasi yang mengkatalogkan setiap permainan dalam simpanannya dan menggunakan pangkalan data untuk membandingkan permainan yang dimilikinya dengan permainan yang dia masih tiada untuk melengkapkan koleksinya.

Internet telah menjadi rahmat buatnya untuk mencari permainan video masa lalu yang boleh dikatakan hampir mustahil untuk ditemui.

Monteiro menjelaskan, mencari permainan retro di kedai video tempatan adalah agak mencabar.

“Beberapa permainan yang paling jarang saya temui mengambil masa bertahun-tahun untuk mencari salinan yang bagus pada harga berpatutan.

“Disebabkan hal itu ia telah melambatkan saya daripada melengkapkan salah satu koleksi Nintendo DS yang digemari,” katanya.

Tambah Monteiro, dia sedang berusaha untuk melengkapkan koleksi Nintendo DS miliknya.

Terdahulu, Monteiro pertama kali meraih rekod Guinness World Records untuk koleksi permainan videonya pada 2019 apabila dia mengumpul 20,193 permainan video.

Dalam dua tahun kebelakangan ini koleksinya telah bertambah melebihi 4,000 permainan.

Malah, banyak permainan video itu masih belum dibuka dan dimainkan olehnya.

The post Kumpul lebih 24,000 permainan video appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*