Kursus Praperkahwinan LPPKN Tidak Diwajibkan Kepada Pasangan Yang Mahu Berkahwin – Nancy

Kursus praperkahwinan lppkn

Kursus Praperkahwinan LPPKN Tidak Diwajibkan Kepada Pasangan Yang Mahu Berkahwin – Nancy

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Kerajaan tidak akan mewajibkan pasangan yang mahu berkahwin di negara ini untuk menghadiri kursus praperkahwinan yang dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara (LPPKN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kursus itu diadakan secara sukarela kepada pasangan pelbagai bangsa, justeru terpulang kepada mereka sama ada untuk menghadiri atau sebaliknya.

“Ia adalah program yang baik, bukan hanya untuk satu kaum atau agama tertentu tetapi ia untuk semua. Ia akan membimbing anda mengenai perkahwinan, keluarga dan pengurusan kewangan.

“Sebenarnya ia (kursus) itu telah lama dijalankan dan sambutan sentiasa baik tetapi kami tidak terfikir untuk menjadikannya mandatori tetapi menggalakkan mereka (pasangan untuk menghadirinya),” kata Nancy.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikan kursus praperkahwinan sebagai mandatori untuk pasangan yang mahu berkahwin.

Nancy ditemui media selepas merasmikan bengkel mengenai kepimpinan wanita anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) di sini hari ini.

BACA JUGA: Penting Untuk Bakal Pengantin, Wanita Kongsi Tips Permohonan Kebenaran Berkahwin Online

Ditanya sama ada usaha itu (mewajibkan kursus) sebagai penyelesaian terbaik untuk membendung peningkatan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Malaysia, Nancy berkata: “Saya tidak fikir formula itu berkesan.

“Walaupun anda mewajibkan tetapi jika mereka mahu bercerai, anda tidak dapat mengawalnya kerana sepanjang perkahwinan banyak perkara mungkin berlaku, jadi ia sangat subjektif,” katanya.

Berhubung program itu pula, Nancy berharap agar wanita yang terpilih sebagai calon pada enam Pilihan Raya Negeri kelak, dapat menampilkan strategi kempen yang berbeza bagi memastikan mereka berupaya memenangi lebih banyak kerusi.

“Kalau kita hendak lihat ramai wanita menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, kita kena ada sistem (strategi) yang kuat. Fahami senario pengundi dan santuni mereka.

Jangan sibuk mengutuk sesama sendiri (wanita) dengan kelemahan masing-masing, tetapi cubalah tawarkan apa yang terbaik untuk masa depan pengundi. Ini peluang terbaik untuk membuktikan bahawa rakyat boleh bergantung harap kepada pemimpin wanita,” katanya.

Sumber: BERNAMA 

The post Kursus Praperkahwinan LPPKN Tidak Diwajibkan Kepada Pasangan Yang Mahu Berkahwin – Nancy appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*