‘Langkah Ajaib’, Pelan Pembangunan Pendidikan Pamer Prestasi Terbaik Setelah 10 Tahun

PPPM Pamer Prestasi Terbaik Setelah 10 Tahun

Dalam tempoh satu dekad transformasi ini, pelbagai inisiatif dan pencapaian telah dicapai untuk meningkatkan mutu pendidikan di pelbagai peringkat.

Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah mencatatkan banyak pencapaian signifikan menerusi ‘langkah ajaib’ dalam memastikan sistem pendidikan terus berada pada tahap berkualiti.

Lima (5) tunggak aspirasi; akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan

Pada tahun 2022, sebanyak 25 inisiatif telah dilaksanakan bagi mendukung setiap sistem aspirasi ini. Setiap inisiatif tersebut diterajui oleh bahagian yang bertanggungjawab dan menterjemahkan inisiatif tersebut melalui aktiviti atau program dengan sasaran yang telah ditetapkan.

Akses

Lima inisiatif yang bermatlamat untuk mencapai 100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang tahun 2022 telah dilaksanakan dengan baik serta menunjukkan peratusan peningkatan daripada sepuluh tahun lalu. Insiatif tersebut adalah seperti yang berikut:

  • Pewujudan pelbagai sekolah untuk memastikan tiada murid terpinggir.
  • Pelaksanaan Garis Panduan Murid Berisiko Cicir.
  • Pelaksanaan Ziarah Cakna.
  • Zero Reject Policy.
  • Pelaksanaan Transformasi TVET.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kadar akses itu antaranya meningkat sehingga mencecah 98.3 peratus meliputi empat peringkat murid iaitu menengah atas, menengah rendah, rendah dan prasekolah.

PPPM pamer prestasi terbaik setelah 10 tahun

Kualiti

Bagi mencapai matlamat menempatkan negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA, sebanyak lima (5) inisiatif telah dilaksana:

  • Penandaarasan kurikulum dengan negara maju bagi melahirkan murid berkemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
  • Kerangka Standard Bahasa Melayu dibangunkan sebagai standard kompetensi berbahasa Melayu bagi pengguna Bahasa Melayu.
  • Pelaksanaan program Dual Language Programme (DLP) dan Highly Immersive Programme (HIP) bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid.
  • Penambahbaikan proses pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
  • Penetapan syarat minima 5A SPM bagi calon Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di IPG.

Melalui aspirasi ini memperlihatkan peningkatan 13% purata merentas literasi Bacaan, Matematik dan
Sains dari tahun 2012 hingga tahun 2018 dalam kajian PISA serta peningkatan 6% purata merentas literasi Matematik dan Sains dari tahun 2011 hingga 2018 dalam kajian TIMSS.

Ekuiti

Dalam memastikan kesamarataan peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira etnik, tempat atau latar belakang sosio ekonomi, PPPM telah mensasarkan pengurangan dalam jurang pencapaian (bandar-luar bandar, sosioekonomi, jantina) menjelang tahun 2022, melalui lima (5) inisiatif berikut:

  • Pemantapan peranan PPD dalam peningkatan prestasi sekolah.
  • Budaya Dialog Prestasi pada semua peringkat bagi membincangkan prestasi pendidikan diwujudkan secara berkala.
  • Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif (PPI).
  • Peningkatan Kebolehpasaran MBPK melalui kerjasama strategik bersama industri dan pelbagai agensi.
  • Program Transformasi Orang Asli dan Peribumi.

Perpaduan

Memupuk perpaduan negara merupakan aspirasi utama Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum. Aspirasi perpaduan bermatlamat menjadikan sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian. Inisiatif yang dilaksana bagi tujuan ini adalah:

  • Pemetaan Kerangka Pendidikan Karakter dengan kurikulum.
  • Penambahbaikan Program Khidmat Masyarakat untuk Menengah Atas.
  • Pelaksanaan Kajian Indeks Perpaduan di Sekolah.
  • Penyelarasan Dasar Perpaduan Negara kepada Pelan Hala Tuju Perpaduan dalam Pendidikan.
  • Penambahbaikan nisbah Guru Bimbingan Kaunseling Sepenuh Masa kepada murid.

Dapatan kajian indeks perpaduan dalam pendidikan pada tahun 2022 menunjukkan bahawa tahap perpaduan meningkat kepada indeks 7.1 berbanding tahun 2014.

Kecekapan

Matlamat utama aspirasi ini adalah mencapai sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada. Lima (5) inisiatif yang telah dilaksana bagi mendukung aspirasi ini adalah:

  • Penstrukturan semula KPM di peringkat KPM, JPN dan PPD.
  • Pewujudan pelbagai dashboard pemantauan di pelbagai peringkat.
  • Penetapan garis asas infrastruktur sekolah.
  • Dasar Pendidikan Digital.
  • Pemberian autonomi kewangan kepada sekolah terpilih.

KPM membentuk murid berkualiti, holistik, seimbang secara ilmu dan adab.

Generasi masa kini berhadapan dengan cabaran yang amat rumit yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Murid perlu didedahkan kepada ilmu serta kepakaran teknikal yang relevan dan sesuai untuk menangani cabaran tersebut, demi meningkatkan daya tahan yang tinggi serta berupaya dalam membuat keputusan yang beretika.

PPPM pamer prestasi terbaik setelah 10 tahun

Justeru itu, Kementerian amat mementingkan penerapan nilai moral, jati diri kebangsaan, kefahaman terhadap budaya dan ketamadunan serta kemahiran digital. Murid mestilah mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar pengetahuan dan secara kritis, dan sentiasa terbuka untuk menerima perubahan, idea dan cara baharu untuk bertindak. Mereka juga harus berupaya untuk mengurus kehidupan dan mampu memimpin komuniti.

Semua ini menjurus kepada penghasilan murid yang dapat menyumbang secara aktif kepada masyarakat Malaysia dan arena global.

Guru kalis masa hadapan

Untuk melahirkan murid yang holistik, minat melakukan kerjanya, bekerja keras, cekal, dan bertekad menjadi yang terbaik demi agama, bangsa dan negara, guru yang kalis masa hadapan diperlukan.

Justeru, dalam masa sedekad usaha yang telah dilaksana bagi memastikan guru kalis masa hadapan, KPM telah berjaya memastikan kualiti dan profesionalisme guru pra dan dalam perkhidmatan dipertingkatkan bagi memastikan sistem pendidikan yang mampan.

PPPM pamer prestasi terbaik setelah 10 tahun

Laporan Tahunan 2022 ini telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor, semalam (22 Ogos 2023).

KPM dalam kenyataan memaklumkan Laporan Tahunan 2022 dan Gallery Walk jelas menunjukkan walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan, tetapi ia dapat diatasi dengan keazaman yang tinggi dan inovasi yang mampan.

Pencapaian PPPM 2013-2025 merupakan bukti komitmen Malaysia dalam mengubah landskap pendidikan negara. Transformasi dalam pelbagai bidang termasuk akses, kurikulum, pembangunan pendidik, infrastruktur, teknologi, pendidikan vokasional, dan pengurusan sekolah telah membawa impak yang positif kepada sistem pendidikan.

Melalui usaha berterusan ini, Malaysia sedang melangkah ke hadapan dalam memenuhi cabaran global dan menjana generasi yang lebih berkualiti dan berdaya saing.

The post ‘Langkah Ajaib’, Pelan Pembangunan Pendidikan Pamer Prestasi Terbaik Setelah 10 Tahun appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*