Lebih 9,000 Guru Baharu Mula Berkhidmat Tahun Depan

guru baharu

Lebih 9,000 Guru Baharu Mula Berkhidmat Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Lebih 9,000 guru baharu akan memulakan perkhidmatan di sekolah seluruh negara bagi sesi persekolahan Januari 2024, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sudah memperoleh jumlah perjawatan guru baharu itu daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan mereka akan melapor diri tahun depan.

“KPM sentiasa berusaha memastikan jumlah perjawatan guru ditambah mengikut keperluan sekolah berikutan masalah kekurangan guru dikenal pasti sebagai antara punca pertambahan beban tugas kepada guru sedia ada.

“Kekurangan guru paling signifikan adalah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk Teknologi (RBT). KPM sentiasa berusaha memastikan jumlah guru ditambah dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) sama ada masalah kekurangan guru termasuk ramai guru bersara awal menyebabkan beban tugas bertambah kepada guru yang sedang dalam perkhidmatan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kebajikan dan kemudahan infrastruktur bagi guru di kawasan pedalaman susulan kes guru besar di sebuah sekolah di Sabah terpaksa tinggal di stor sekolah, Hui Ying berkata KPM sedang mengambil tindakan susulan bagi isu itu.

BACA: “Hari Yang Naif Menjadi Geliga…”, Tular Ucapan Penuh Puitis VC UPSI, Buat Ramai Sebak

“Tindakan susulan sedang dibuat untuk kenal pasti punca berlaku insiden itu (guru tinggal dalam stor sekolah) dan kita akan urusan setiap isu itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, pada sesi sama Hui Ying berkata KPM turut mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang memutuskan bahawa penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular adalah sah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan difailkan empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Sumber: BERNAMA

The post Lebih 9,000 Guru Baharu Mula Berkhidmat Tahun Depan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*