Lelaki Dipenjara, Denda Guna Kad Pengenalan Palsu Kerja Sebagai Guru Sejak 29 Tahun Lepas

lelaki kad pengenalan palsu guru

Lelaki Dipenjara, Denda Guna Kad Pengenalan Palsu Kerja Sebagai Guru Sejak 29 Tahun Lepas

KENINGAU, 22 Feb (Bernama) — Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom dekat sini, sejak 29 tahun lepas.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Tertuduh diarah menjalani hukuman berkenaan dari tarikh tangkap pada 29 Jan lepas dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan penjara tambahan selama enam bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Jan lepas satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu.

Semakan lanjut dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.

Semakan rekod mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN, bagaimanapun dengan taraf Pemastautin Sementara.

Semakan juga mendapati tertuduh memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor serta nama sama dan Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon agar hukuman dalam bentuk pencegahan dikenakan kepada tertuduh.

Beliau berkata hukuman dipohon itu adalah mengambil kira kepentingan awam dan keadilan sosial, selain memiliki dokumen pengenalan diri palsu sebagai dokumen pengenalan diri adalah suatu tindakan yang salah dan tidak bertanggungjawab.

Peguam yang mewakili tertuduh, Korventt Wheezar pula meminta hukuman ke atas tertuduh diringankan kerana sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah itu tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berkelakuan baik, selain mengaku salah dalam kes berkenaan.

BACA: Elak Letak Dalam Beras, Apple Kongsi Cara Betul Keringkan iPhone Masuk Air

Sumber: Bernama

The post Lelaki Dipenjara, Denda Guna Kad Pengenalan Palsu Kerja Sebagai Guru Sejak 29 Tahun Lepas appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*