Lelaki ganggu wanita kena ‘kutip’

JOHOR BAHRU – Dua individu lelaki yang didapati mengganggu dua wanita sedang menunggang motosikal dalam satu rakaman video tular di media sosial baru-baru ini berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, rakaman video berkenaan dipercayai dirakam pada pukul 9.42 malam, 11 Januari lalu.

Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku di Jalan Skudai – Pantai Lido, menghala ke arah Johor Bahru, di sini.

“Dalam video berkenaan, sebuah motosikal jenis Yamaha Y16Z ditunggang seorang lelaki bersama seorang pembonceng lelaki yang tidak memakai topi keledar didapati telah mengganggu dua individu wanita yang sedang menunggang motosikal lain.

“Perbuatan kedua-dua lelaki berkenaan jelas dilihat telah menimbulkan perasaan takut dan trauma kepada kedua-dua wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Raub, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan fizikal kepada semua pihak terlibat yang merupakan warganegara tempatan.

“Penunggang dan pembonceng motosikal lelaki berkenaan yang berusia 20-an kemudiannya berjaya dikesan dan telah dipanggil untuk ke Balai Polis Trafik untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan saman telah dikeluarkan terhadap kedua-dua individu tersebut atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah dan tidak memakai topi keledar ketika membonceng motosikal.

“Kedua-dua suspek juga telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut, namun tiada perbuatan jenayah dikesan,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 29 saat yang menunjukkan dua lelaki menunggang sebuah motosikal mengganggu dua wanita yang menunggang sebuah motosikal lain.

Sementara itu, Raub turut memberitahu agar masyarakat awam membantu menyalurkan maklumat yang dimiliki berhubung sebarang kejadian salah laku dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di bandar raya ini.-KOSMO! ONLINE

The post Lelaki ganggu wanita kena ‘kutip’ appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*