Mahkamah: Bicara Ahmad Zahid dijadual semula April ini

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi muncul kali pertama di Mahkamah Tinggi di sini selepas bergelar Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid, 70, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di pekarangan mahkamah diiringi kenderaan pengiring polis kira-kira pukul 8.45 pagi.

Ketika kes disebut di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 27 hari dalam tempoh lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos ini.

Tarikh-tarikh itu ialah pada 10 hingga 13 April, 15 hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai manakala tarikh-tarikh bulan Ogos ialah pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran selaku ketua pasukan pendakwaan memaklumkan hari ini untuk sebutan kes sambil menarik perhatian mahkamah dengan merujuk Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau kemudian memberitahu tarikh-tarikh bicara tambahan yang telah dipersetujui iaitu pada bulan Jun, Julai dan Ogos ini.

Ketika prosiding pada 22 November tahun lalu, mahkamah sepatutnya mendengar prosiding soal balas saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Bagaimanapun keterangan saksi berkenaan ditangguhkan dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan didengar pada hari ini hingga 19 Januari, 30 hingga 31 Januari serta tarikh-tarikh pada Februari, Mac, April dan Mei.

Berikutan penjualan semula tarikh-tarikh perbicaraan, prosiding yang telah ditetapkan pada Januari, Februari dan Mac dilapangkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

The post Mahkamah: Bicara Ahmad Zahid dijadual semula April ini appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*