Mohamad Sabu perjelas kenapa import telur ayam India

PUTRAJAYA – Langkah mengimport telur ayam dari India dibuat kerana pengeluar dari negara itu dapat memenuhi dengan segera keperluan bekalan dikehendaki Malaysia.

Itu jelas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu berhubung tindakan kementeriannya memutuskan import telur ayam dari negara itu.

Menurutnya, beliau juga mendedahkan bahawa bekalan itu diperolehi daripada pengeluar sama yang membekalkan telur ayam bagi temasya Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar tahun lalu.

“Kita buat keputusan untuk import dari negara itu kerana kita mahu buat cara segera dan kita pilih mana (pengeluar) yang memberi tawaran dengan cepat.

“Kalau kita mahu import cara biasa ia mungkin memakan masa kerana perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) dan sebagainya,” katanya di sini tadi.

Katanya, bekalan telur ayam import dari Tamil Nadu, India juga sudah mematuhi pelbagai spesifikasi dan syarat diperlukan selain mendapat kepercayaan untuk dibekalkan pada temasya Piala Dunia 2022 itu.

Mohamad berkata, import telur ayam dari India sedang berjalan, namun langkah itu tidak akan lama dan akan dihentikan jika situasi bekalan di pasaran tempatan sudah stabil.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai 15 Disember tahun lalu bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya. – KOSMO! ONLINE

The post Mohamad Sabu perjelas kenapa import telur ayam India appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*