Malaysia catat FDI lebih tinggi pada suku keempat 2022 kepada RM19.3 bilion

Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM19.3 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) pada suku keempat 2022 berbanding RM12.3 bilion pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pembuatan kekal sebagai sektor terbesar FDI, diikuti sektor perkhidmatan khususnya dalam maklumat dan komunikasi serta perlombongan dan pengkuarian.

“Sumber utama FDI adalah dari Amerika Syarikat (US), Switzerland dan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih lebih tinggi sebanyak RM28.7 bilion pada suku keempat 2022 berbanding RM10.3 bilion pada suku tahun sebelumnya.

Beliau berkata penyumbang utama kepada aliran keluar adalah daripada sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, diikuti sektor perlombongan, pengkuarian dan pembuatan.

Tiga destinasi utama DIA ialah Belanda, United Kingdom dan Indonesia. 

Merumuskan prestasi tahunan, Mohd Uzir berkata imbangan akaun semasa (CAB) negara terus mencatatkan lebihan sebanyak RM47.2 bilion pada 2022 berbanding RM58.7 bilion setahun lalu.

Lebihan CAB yang mewakili 2.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebahagian besarnya disokong oleh eksport bersih barangan pada RM169.3 bilion.

Eksport barangan merekodkan RM1.2 trilion terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan produk berasaskan minyak sawit. 

Destinasi utama ialah Singapura, China dan US.

Sementara itu, import barangan mencatatkan RM1.0 trilion terutamanya dalam produk E&E. Sumber utama import ialah China, Singapura dan Taiwan.

“Melihat kepada prestasi perdagangan perkhidmatan pada 2022, akaun ini mencatatkan defisit sebanyak RM45.4 bilion, mengecil sebanyak 25.2 peratus berbanding RM60.7 bilion defisit pada tahun sebelumnya.

“Ini disumbangkan terutamanya oleh perjalanan yang menyaksikan defisit yang lebih rendah sebanyak RM1.8 bilion berbanding defisit RM14.6 bilion pada 2021,” katanya. 

Beliau berkata eksport perjalanan telah mencapai 33.9 peratus daripada paras sebelum pandemik (2019), meningkat dengan ketara kepada RM27.9 bilion pada 2022 daripada RM0.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, komponen perkhidmatan lain iaitu pembuatan dan pembinaan juga menunjukkan prestasi yang menggalakkan pada 2022 dengan lebihan yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak RM16.7 bilion dan RM1.3 bilion. 

Mohd Uzir berkata akaun kewangan bagi tahun 2022 mencatatkan aliran masuk bersih lebih tinggi sebanyak RM14.8 bilion daripada RM13.0 bilion pada 2021, disebabkan aliran masuk yang lebih tinggi dalam pelaburan lain dan pelaburan langsung.

Selain itu, aliran masuk FDI pada 2022 meningkat kepada RM73.3 bilion berbanding RM48.1 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, DIA turut merekodkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM57.3 bilion berbanding RM19.7 bilion pada tahun sebelumnya. 

“Pada akhir tahun 2022, kedudukan FDI merekodkan RM875.1 bilion manakala DIA ialah RM602.1 bilion. 

“Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih sebanyak RM63.0 bilion manakala rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM503.2 bilion,” katanya yang merujuk kepada pelaburan terkumpul.

Menurut Tinjauan Ekonomi oleh Kementerian Kewangan (MOF), lebihan CAB dijangka mencecah RM73.0 bilion pada 2023 dengan eksport bersih barangan pada RM216.2 bilion.

Lebihan CAB Malaysia bagi tahun 2022 masih di bawah paras sebelum pandemik iaitu RM52.9 bilion (2019).

DOSM telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai platform yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai jenis data. 

OpenDOSM NextGen ialah medium perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my portal.

— BERNAMA

Baca juga : Tak sanggup bazirkan makanan anak bagi, bapa habiskan 5 pau sebelum masuk Singapura

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*