MASAC Jangka “Trend” Belia Terlibat Dadah Meningkat Tahun Ini

masac belia terlibat dadah

MASAC Jangka “Trend” Belia Terlibat Dadah Meningkat Tahun Ini

Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) dalam satu kenyataan media menjangkakan trend belia berusia 19 hingga 39 tahun terlibat dengan dadah meningkat pada tahun 2023.

Setiausaha Agung, Raja Azizan Suhaimi berkata ia selari dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, Saifuddin semalam memaklumkan jumlah tangkapan golongan yang positif pelbagai jenis dadah pada tahun lalu semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Tambahnya, MASAC telah menjangkakan perkara itu susulan hasil turun padang dan maklumat daripada puluhan ribu bekas pengguna bahan terlarang itu.

“MASAC melalui pengalaman dan pengamatan, percaya trend ini juga akan meningkat lagi bagi tahun 2023.

“Ini kerana atas faktor tekanan hidup, penjualan peranti vape yang tidak berdaftar secara sah yang memudahkan belia ini mengambil dadah jenis perisa mushroom.

“Serta bekalan dadah yang semakin mudah diperolehi kesan dari permintaan yang meningkat,” kata Raja Azizan.

BACA: Edar Dadah Dalam Kompleks Penjara, Warden Ke Tali Gantung

Jelasnya, perkara itu masih lagi berlaku walaupun pihak berkuasa sedang dan telah bersungguh bekerja dengan ikhlas menangani permasalahan ini.

Dalam pada itu, menurutnya program-program yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga perlu diperkasakan.

Ia termasuk program yang menyasarkan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti untuk mendekati golongan muda.

Malah bajet dan kakitangan tambahan kepada badan penguatkuasa itu juga diperlukan bagi membendung kemungkinan peningkatan trend tersebut.

“Manakala pelbagai NGO berkait permasalahan dadah diberi bantuan dana secara tahunan seperti pelbagai Persatuan Sukan untuk menggerakkan usaha memberi maklumat.

“Ia bagi menangani secara lembut dan AADK dan agensi lain fokus kepada usaha penguatkuasaan dan pencegahan, pemulihan serta penyembuhan selepas ditangkap,” ujarnya.

Menurutnya lagi, MASAC bersedia membantu kerajaan melalui puluhan NGO ahli gabungan bersama MASAC.

Hal ini adalah berdasarkan kekuatan dan pengalaman yang ada dengan dana tahunan diberikan Kerajaan kepada MASAC.

“Ia berserta satu lokasi tetap dari kuarters kerajaan di setap negeri yang tidak digunakan lagi untuk menggerakkan pelbagai aktiviti bagi tahun 2023,” katanya.

Tambahnya, MASAC yang mempunyai jaringan meluas hingga ke akar umbi mampu mendekati dan mendapat kepercayaan dari golongan bekas pengguna atau bakal pengguna bahan salah.

BACA: Penangkapan Anak Raja Dadah Mexico “El Chapo” Cetus Huru-Hara

“MASAC mampu memberi nasihat akibat terus menggunakan bahan salah itu.

“Nasihat ini bukan hanya dibaca dari teori atau buku, tetapi merupakan pengalaman sebenar yang akan dikongsikan secara nyata kepada golongan berisiko agar tidak terus atau mula terlibat dengan dadah durjana,” jelasnya.

Sementara itu, MASAC yang juga sebagai NGO tiada kuasa penyiasatan atau boleh menangkap atau menjalankan proses pendakwaan seperti AADK atau lain-lain.

“MASAC mempunyai kekangan bajet yang amat terhad hasil sumbangan terdahulu yang kini hampir kehabisan dana.

“Data yang dikongsi oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution semalam berkait belia yang telah ditangkap.

“Walhal berganda lagi rekodnya yang masih bebas dan tidak ditangkap turut menyumbang secara besar dan senyap kepada permasalahan ini.

“MASAC juga percaya keadaan sebenar ialah mungkin dua atau tiga kali ganda lagi, namun mereka ini bijak mengelak dari dikesan badan penguatkuasa,” katanya.

BACA: Pelajar Sekolah Antara Ditahan Bantu Siasatan Penemuan Dadah Lebih RM1.4 Juta

Raja Azizan turut menambah bahawa MASAC mengulangi sekali lagi kesanggupan untuk bersama kerajaan bagi melawan peningkatan permintaan dadah di negara ini. Ia boleh dilakukan secara nasihat dan memberi maklumat.

“Badan lain yang mempunyai kuasa yang jelas dan nyata perundangan fokus kepada perkara lebih besar. Ia seperti tangkapan dan pencegahan selepas hukuman.

“Serta usaha menyekat keberadaan bekalan di pasaran dalam negara yang semakin mudah diperolehi.

“MASAC dengan penuh rendah diri merayu agar bagi pembentangan bajet kali ini, NGO seperti MASAC diberi dana yang sewajarnya.

“Ini bagi membantu  menentusahkan hala tuju keselamatan sosial negara dari permasalahan dadah durjana yang membawa kepada kesengsaraan dan juga penyesalan,” ujarnya.

Di samping itu, MASAC turut mempelawa NGO yang berminat untuk menjadi ahli gabungan MASAC untuk bersama membasmi permasalahan berkait dadah.

Sumber: Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC)

The post MASAC Jangka “Trend” Belia Terlibat Dadah Meningkat Tahun Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*