MCMC Sasar Liputan Internet 100% Berkelajuan 100Mbps Di Kawasan Berpenduduk Seluruh Negara, Termasuk Kampung Orang Asli

Liputan Internet 100% Dengan kelajuan 100Mbps Di Kawasan Berpenduduk Seluruh Negara Sasaran JENDELA

Bila kali terakhir korang tengok video Youtube sambil tersekat-sekat? Kalau dulu, ada pelajar terpaksa panjat pokok untuk dapatkan Internet untuk jawab exam, kini ribuan pelajar di kawasan pedalaman boleh menarik nafas lega. 

Bermula September 2020, kerajaan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang giat meningkatkan infrastruktur Internet di seluruh negara. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kerajaan menyasarkan liputan Internet 4G mencapai 100 peratus ke seluruh kawasan yang berpenduduk dengan kelajuan 100Mbps menjelang akhir tahun 2025.

Berapa laju tu 100Mbps?

Pendek kata, kalau korang nak muat turun fail bersaiz 20GB, korang hanya perlukan masa 26 minit saja. Atau untuk gambar bersaiz 2.6 MB, kurang satu saat. Nyaris sekelip mata!

Kampung orang asli pun tak ketinggalan!

Tak ketinggalan, JENDELA juga menyasarkan liputan 100% dengan kelajuan 100Mbps di kawasan pedalaman seperti Kampung Orang Asli Ulu Lakai, Negeri Sembilan dan Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey.

Kalau korang nak tahu, kedua-dua kampung ni telahpun termasuk dalam 839 tapak Jalur lebar Satelit (BWA) yang bertujuan untuk mengatasi masalah capaian Internet di kawasan terpencil, khususnya bagi lokasi dengan ketumpatan penduduk yang rendah.

Liputan 5G Capai 47.1 peratus, termasuk beberapa kawasan di Sabah & Sarawak

Sejak diperkenalkan pada September 2020 sehingga 31 Disember 2022, Fasa 1 JENDELA dah pun mencapai liputan 4G sebanyak 96.92 peratus di kawasan berpenduduk dengan kelajuan jalur lebar mencecah 116.03 Mbps. 

Pelan ini akan diteruskan dengan Fasa 2 (2023-2025) bagi memperluas perkhidmatan 5G ke seluruh negara.

Setakat ini, sebanyak 47.1 peratus kawasan berpenduduk dengan 3,906 tapak rangkaian 5G telah disediakan termasuk di Cyberjaya, Putrajaya dan Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di negeri lain termasuk Johor, Melaka, Kelantan, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Selain tu, rangkaian 3G di seluruh negara juga telahpun ditutup untuk membolehkan spektrum 3G digunakan semula bagi meningkatkan kualiti rangkaian 4G. Jadi pengguna bolehlah menikmati kapasiti, kelajuan data dan liputan jalur lebar yang lebih meluas.

Semak kualiti Internet mengikut lokasi dengan Peta JENDELA 

Mungkin ada yang belum tahu, korang sebenarnya boleh semak sendiri liputan jalur lebar korang di peta JENDELA. Jadi sebelum nak pilih perkhidmatan, korang boleh semak penyedia yang mana tawarkan rangkaian Internet paling stabil di tempat korang. 

Cuma perlu klik tempat korang atau masukkan lokasi di carian, zasss! Segala maklumat tentang liputan dan capaian Internet pun tersedia. Korang juga boleh beri maklumbalas kepada pihak SKMM sekiranya terdapat masalah dalam liputan telekomunikasi di tempat tinggal korang. 

Fasa 2 JENDELA sasar maksimumkan liputan Internet, digitalkan perniagaan

Zaman dah berubah, kerepek Mak Leha pun boleh tembus pasaran antarabangsa dengan adanya Internet.

Disebabkan pendigitalan perniagaan ni lah, JENDELA diwujudkan untuk memaksimumkan liputan Internet dengan meningkatkan kualiti infrastruktur dan perkhidmatan digital ke seluruh negara. Barulah usahawan kita dapat bersaing ke peringkat global.

Bagi Fasa 2 (2023-2025), JENDELA akan memanfaatkan kepelbagaian teknologi seperti 4G, 5G, satelit dan sebagainya bagi menyediakan kesalinghubungan dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Dengan adanya kesalinghubungan Internet ini, teknologi-teknologi baru akan dapat diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan pantas, sekaligus menjayakan Rancangan Malaysia ke-12 dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Kebangsaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

The post MCMC Sasar Liputan Internet 100% Berkelajuan 100Mbps Di Kawasan Berpenduduk Seluruh Negara, Termasuk Kampung Orang Asli appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*