Median Kelajuan 5G Malaysia Terpantas Di Asia Tenggara, Ketiga Di Peringkat Global

kelajuan 5g malaysia

Median Kelajuan 5G Malaysia Terpantas Di Asia Tenggara, Ketiga Di Peringkat Global

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Median kelajuan rangkaian 5G Malaysia berada pada 485.25Mbps, iaitu terpantas dalam kalangan negara Asia Tenggara dan ketiga di peringkat global, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini berdasarkan keputusan terkini data Perisikan Speedtest Ookla bagi suku ketiga 2023.

“Pencapaian ini adalah bukti mengenai kualiti dan integriti rangkaian 5G bertaraf dunia yang dibangunkan oleh DNB (Digital Nasional Berhad), di Malaysia.

“Setakat hujung September, kadar penggunaan 5G kita sudah berada pada tahap 7.4 peratus dengan kira-kira 2.5 juta pengguna mudah alih melanggan rangkaian 5G,” katanya dalam ucapannya pada pelancaran Pusat Pengalaman ’My5G Portal’ DNB di sini hari ini.

Beliau berkata sejak awal pelaksanaan rangkaian 5G dua tahun lalu, tumpuan diberikan kepada penerimaan pengguna supaya syarikat mempunyai akses kepada pangkalan pelanggan yang semakin meningkat.

BACA JUGA: Ericsson Pilih Malaysia Sebagai Hab Asia Tenggara Untuk Hasilkan Produk 5G

Fahmi berkata adalah penting untuk mengiktiraf bahawa 5G mewakili asas bagi revolusi teknologi dan perindustrian yang semakin hampir, untuk mempercepatkan penérimaan dalam kalangan pengguna dan perusahaan ketika ini.

Mengenai ‘Portal My5G’, beliau berkata ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital.

“Pusat ini berfungsi sebagai sumber yang berharga untuk syarikat, perkhidmatan awam, ahli akademik dan orang ramai yang menyasarkan untuk menerima teknologi 5G.

“Adalah penting untuk mengiktiraf bahawa 5G mewakili asas bagi revolusi teknologi yang akan berlaku. Walaupun peralihan kepada 5G mungkin mempunyai cabaran, namun semua pihak berkepentingan mesti menerima platform ini dan memanfaatkan potensinya,” katanya.

Melalui pusat ini, DNB menyasarkan untuk menunjukkan keupayaan sebenar teknologi yang menggunakan rangkaian 5G dalam ruang automasi, kecerdasan buatan (AI), realiti lanjutan (X) dan robotik, mempromosikan penggunaan 5G dalam kalangan pemimpin perusahaan dalam sektor awam dan swasta, serta orang awam.

Portal My5G ialah usaha kerjasama antara DNB dan rakan kongsi utamanya Ericsson, serta ekosistem lebih 20 rakan penyelesaian tempatan dan antarabangsa.

Ia berfungsi sebagai pemangkin bagi perkongsian pengetahuan, idea dan penciptaan bersama, memacu kemajuan teknologi 5G dan penggunaannya pada skala global.

Sumber: BERNAMA

The post Median Kelajuan 5G Malaysia Terpantas Di Asia Tenggara, Ketiga Di Peringkat Global appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*