Menjelang 2040, Air Bukan Lagi Kebajikan Tetapi Nilai Yang Boleh Dilabur 

air 2040 dilabur

Menjelang 2040, Air Bukan Lagi Kebajikan Tetapi Nilai Yang Boleh Dilabur 

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Menjelang 2040, kerajaan berhasrat menjadikan sektor air bukan lagi dilihat sebagai aspek kebajikan tetapi satu nilai yang boleh dilabur oleh operator air di negara ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata usaha ke arah itu sedang giat dilaksanakan pihaknya, namun terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani terlebih dahulu seperti isu mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) apabila air yang dirawat tidak sampai ke akaun pengguna hingga hampir 60 peratus.

“Air yang dirawat dalam loji tidak sampai ke akaun pengguna sama ada ada dicuri atau sebenarnya yang banyak berlaku adalah bocor disebabkan paip lama dan purata negara kita bagi air tersebut adalah sekitar 35 peratus tapi ada negeri yang sampai 60 peratus.

“Ini bermakna lebih separuh daripada yang dirawat tak sampai (kepada pengguna), jadi kita sedang cuba lihat untuk perbaiki dan kita juga telah meluluskan untuk memudahkan geran bagi NRW serta pembaikian ini diakses oleh operator air negeri. Itu antara kita perkara penting yang kita buat bagi sektor air,” katanya ketika ditemu bual pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

Selain itu, Nik Nazmi berkata usaha kerajaan melaksanakan pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal 2050 merupakan antara hasrat tertinggi dilakukan sepanjang setahun beliau menerajui kementerian tersebut.

BACA JUGA: Tumpaskan Taiwan: Malaysia Sekali Lagi Raih Perhatian FIFA

“Kita mempunyai sasaran peralihan tenaga yang sangat hebat dan meletakkan hasrat negara untuk menjadi sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ 2050 dan ini adalah komitmen kita kepada Perjanjian Paris 2015.

“Sekitar 80 peratus penjanaan tenaga elektrik di negara kita bergantung kepada gas asli dan yang lebih teruk lagi adalah arang batu, jadi sebab itu apa yang kita telah lakukan pada hari ini adalah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mempercepatkan peralihan dan kita meletakkan menjelang tahun 2050,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perubahan iklim yang berlaku kini adalah sesuatu yang dinamik dan bukan mudah untuk ditangani serta memerlukan tindakan menyeluruh daripada pelbagai pihak.

“Kita memerlukan tindakan yang dibuat secara lokal sama ada di bandar mahupun peringkat negeri yang ada kuasa pada tanah, hutan dan sumber air yang sangat signifikan dan kadang-kadang sangat besar kuasa daripada kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, ada banyak obligasi antarabangsa dan kekangan serta tekanan untuk meletakkan satu standard yang sangat tinggi dalam kalangan negara membangun sambil melupakan bahawa negara maju banyak merosakkan alam sekitar seperti memotong hutan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata beban telah diletakkan kepada negara membangun, oleh itu perlu ada banyak sumbangan dan sokongan daripada negara maju kerana tidak mahu dalam mengejar komitmen perubahan iklim memangsakan orang yang susah di negara ini.

Kementerian itu juga antara yang terlibat dalam program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 Dis ini.

Sumber: BERNAMA

The post Menjelang 2040, Air Bukan Lagi Kebajikan Tetapi Nilai Yang Boleh Dilabur  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*