Menteri Sumber Manusia Menyantuni Pekerja Yang Dilindungi Skim Keilatan Di Bawah Akta 4 Perkeso

KLANG, SELANGOR – Prihatin kepada golongan pekerja yang kurang bernasib baik,  Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V.Sivakumar hari ini menziarahi dua orang pekerja yang  mengalami keilatan hingga tidak mampu bekerja sambil menyerahkan faedah Pertubuhan  Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada mereka. 

Tuan V.Sivakumar telah melawat Puan Sokkayee a/p S.Periasamy di rumahnya di  Kampung Perepat Batu 8 1/2, Jalan Kapar dan Encik Gunasegaran a/l Karuppiah, juga di  rumah beliau di Jalan Sekolah, Off Jalan Meru di sini petang tadi. Kedua-dua pekerja ini  dilindungi PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). 

Turut mengiringi Menteri Sumber Manusia dalam ziarah prihatin ini adalah Yang  Berhormat Ahli Parlimen Klang Tuan V. Ganabatirau, Ketua Eksekutif PERKESO  Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Pengarah PERKESO Negeri  Selangor Encik Ismail Abi Hashim dan Pengurus PERKESO Klang Encik V.  Mohanadas

Sewaktu menziarahi Puan Sokkayee, YB Menteri telah menyampaikan Faedah Pencen Ilat kepada beliau berserta alatan pemulihan seperti lampin dewasa, commode chair dan  kerusi roda. Puan Sokkayee, 54 tahun, merupakan bekas pekerja Pro Link Corporation Sdn  Bhd sehingga November 2010. Beliau mengalami sakit pinggang dan kebas ketika berjalan  atau melakukan aktiviti harian sehinggakan pergerakan beliau terbatas.  

Pada 23 Mei 2023, Jemaah Doktor telah mengesahkan beliau menghidap keilatan atas  masalah degenerative kyphoscolisis yang membuatkan beliau tidak sesuai untuk bekerja.  Sehubungan itu, beliau layak menerima bayaran bulanan Pencen Ilat sebanyak RM550 untuk sepanjang hayat. PERKESO juga akan menyediakan kemudahan pemulihan jasmani  dan dialisis untuk beliau seperti yang disyorkan oleh Jemaah Doktor. 

Kemudiannya, YB Menteri telah menziarahi Encik Gunasegaran serta menyampaikan  Pencen Ilat dan kemudahan peralatan pemulihan mengikut pengesyoran Jemaah Doktor  seperti commode chair, kerusi roda dan pembekalan tangki oksigen.  

Encik Gunasegaran, 42 tahun, adalah seorang jurutera dengan Matrix Flavours &  Fragrances Sdn Bhd sehingga April 2023. Berikutan maklumat yang diterima oleh Pejabat  Ahli Parlimen Klang, Skuad PERKESO Prihatin Klang telah mengambil inisiatif  mendapatkan maklumat lanjut tentang kesihatan Encik Gunasegaran dan mendapati beliau  menghidap penyakit jantung, mengalami sesak nafas dan mempunyai sejarah penyakit  keturunan di mana bapa beliau pernah membuat pembedahan Coronary Artery Bypass  Graft

Pada 12 Mei 2023, Encik Gunasegeran dirujuk ke Jemaah Doktor untuk penilaian dan  disahkan mengalami keilatan di mana beliau menghidap Ischemic Heart Disease dengan  Heart failure with reduced ejection fraction, yang menyebabkan beliau tidak sesuai untuk  melakukan pekerjaan. Sehubungan dengan itu, beliau layak menerima bayaran Pencen Ilat  sebanyak RM2,751 sebulan sepanjang hayat. 

Kedua-dua pekerja tersebut menerima faedah PERKESO kerana majikan mencarum untuk  mereka di bawah Akta 4. Di bawah Skim Keilatan Akta 4, seseorang pekerja berada dalam  keilatan apabila mengalami suatu keuzuran yang berkekalan samada tidak boleh diubati  atau tidak mungkin sembuh, serta tidak berupaya mencari nafkah. Skim Keilatan memberi  perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang  sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan

Perlindungan keselamatan sosial yang disediakan PERKESO kepada pekerja yang  terbencana bukan sahaja meliputi pampasan kewangan seperti bayaran faedah, tetapi  juga peralatan pemulihan dan perubatan serta rawatan rehabilitasi. 

PERKESO kini melindungi golongan pekerja dalam sektor formal, pekerja domestik, pekerja  asing, individu bekerja sendiri dan golongan suri rumah. Perlindungan ini disediakan  menerusi Akta 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem  Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022. Untuk  maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my atau 

hubungi talian Careline PERKESO 1-300-22-8000.

The post Menteri Sumber Manusia Menyantuni Pekerja Yang Dilindungi Skim Keilatan Di Bawah Akta 4 Perkeso appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*