Telur mahal, syarat tak masuk akal pembekal

KLUANG – Caj tambahan pembelian telur ayam di kedai runcit terpaksa dilakukan kerana tindakan pembekal yang mengenakan pelbagai syarat untuk mendapatkan bekalan.

Peniaga kedai runcit di Taman Sri Lambak, Kamarudin Bu­nadir, 35, berkata, setiap peruncit perlu membayar caj penghantaran antara 30 sen hingga 40 sen untuk satu papan (30 biji) telur ayam gred A.

Katanya, pembekal turut mengenakan syarat perlu membeli 100 biji telur ayam omega (10 papan) sekiranya mahu mendapatkan 300 biji (10 papan) telur ayam gred A.

“Sekiranya tiada caj tambahan, peniaga hanya memperoleh keuntungan 30 sen untuk satu papan telur ayam selain terpaksa berhadapan masalah telur ayam omega tidak dapat dijual akibat rosak kerana harganya yang mahal iaitu antara 63 sen hingga 68 sen sebiji.

“Keuntungan hanya 30 sen satu papan itu sudah pasti tidak mampu menampung kos operasi kedai apatah lagi setiap penghantaran hanya sebanyak 20 papan berjaya diperolehi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujar Kamarudin, pihaknya bukan bertindak semberono untuk menekan pelanggan, namun semua ini perlu dilakukan kerana ada dalam kalangan pengguna hanya membeli satu papan telur ayam tanpa membeli barang ke­perluan lain.

Ujarnya, kerajaan seharusnya mencari punca masalah ini bukan lihat kepada peruncit semata-mata.

“Kerajaan perlu lihat bermula operasi penghantaran sehingga tiba di pasaran setempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, penduduk Taman Sri Lambak, Shaari Hamid, 59, berkata, mengenakan sebarang caj atau syarat tambahan kepada pelanggan adalah sesuatu yang tidak betul ketika rakyat berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan ketika ini.

“Keadaan ini tidak harus berlaku kerana selain berdepan caj tambahan pengguna juga perlu membayar telur ayam yang sudah cukup tinggi harganya.

“Justeru itu, kerajaan perlu memikirkan penyelesaian lebih tuntas dalam isu yang sudah berlarutan lama ini,” katanya.

The post Telur mahal, syarat tak masuk akal pembekal appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*