Menu Rahmah dan autisme: Dengarlah kenyataan saya dengan hati yang bersih – Halimah 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar daripada Perikatan Nasional (PN), Dr. Halimah Ali meminta supaya semua pihak mendengar kenyataannya semula dengan ‘hati yang bersih’ susulan kontroversi mengenai Menu Rahmah yang dikaitkannya dengan autisme serta kanser, minggu lalu.

Halimah menafikan bahawa beliau ada mengaitkan program yang diperkenal kerajaan itu dan meminta sesiapa yang mengecamnya untuk merujuk kepada rekod rasmi Parlimen sebelum ini.

“Tengok hansard, saya tidak ada pun kata Menu Rahmah menyebabkan kanser, tengok hansard (rekod rasmi Parlimen).

“(Yang saya maksudkan), jangan sampai terdesak, bukan saya katakan Menu Rahmah ini menyebabkan kanser. Dengar dengan hati yang bersih, insya-Allah jelas,” katanya semasa  perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Halimah berkata demikian sebagai reaksinya terhadap serangan lisan daripada Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mengecamnya kerana mendakwa Halimah bimbang Menu Rahmah menyediakan hidangan berkualiti rendah.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan autisme menyatakan rasa kesal dengan kenyataan dibuat Halimah pada minggu lalu, termasuk Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi yang juga merasakan yang sama.

Katanya, mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko kesihatan seperti autisme, boleh memberi pemahaman salah kepada masyarakat selain menghina komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Klip video ucapan Halimah di Dewan Rakyat itu tular sejak minggu lalu sebelum dilaporkan secara meluas oleh media massa.

Menu Rahmah merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu orang ramai khususnya golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan makan tengah hari dan malam pada harga RM5 dan ke bawah.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia ke atas hansard Parlimen bertarikh 14 Februari lalu menunjukkan kenyataan Halimah adalah seperti berikut:

“Kita tak mahu shortcut (jalan pintas), kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality. Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.”

Pada 16 Februari lalu, Halimah berkata, beliau tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa mengambil makanan berkualiti rendah boleh membawa kepada gangguan perkembangan manusia seperti autisme.

Semasa perbahasan titah di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) dan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mempersoal sama ada program itu mampan.

Mereka juga bertanya jenis insentif yang akan diberi kerajaan kepada peniaga yang mengambil bahagian untuk memastikan Menu Rahmah bertahan lama. – UTUSAN

The post Menu Rahmah dan autisme: Dengarlah kenyataan saya dengan hati yang bersih – Halimah  appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*