Menyamar Jadi Doktor Gigi, Tukang Cuci Dipenjara

Menyamar Jadi Doktor Gigi, Tukang Cuci Dipenjara

Seorang tukang cuci berdepan hukuman penjara dua tahun setengah gara-gara menyamar menjadi doktor gigi sehingga mendatangkan mudarat kepada ‘pesakitnya’, lapor Oddity Central.

Menurut laporan, baru-baru ini seorang lelaki di Turki bernama Hakan Yildirim, 42, telah terpedaya dengan seorang tukang cuci yang menyamar sebagai doktor gigi.

Merujuk fail kes Mahkamah Sivil Turki, Yildirim mengalami sakit gigi yang teruk, lalu dia menelefon sebuah klinik pergigian di wilayah Kagithane untuk berjumpa dengan doktor. Panggilannya dijawab oleh tertuduh yang mengaku bahawa dia adalah seorang doktor gigi.

Tertuduh turut memberitahu Yildirim supaya perlu datang ke klinik untuk pemeriksaan gigi dan menyelesaikan masalahnya itu. Tertuduh juga mendakwa dirinya seorang pensyarah di sebuah universiti pergigian bagi menenangkan kerisauan Yildirim.

Tetapi, apabila pemeriksaan telah dijalankan, tertuduh yang menyamar sebagai doktor gigi itu berkata bahawa empat gigi depan milik Yildirim perlu dicabut. Kata Yildirim, berdasarkan pengetahuannya, gigi yang bernanah tidak patut dicabut.

Namun, kata-katanya itu telah menimbulkan rasa marah pada tertuduh itu yang berkata bahawa Yildirim tidak perlu mengajarnya mengenai cara melakukan kerjanya. Yildirim terpaksa akur ekoran dia dimaklumkan ‘doktor’ terbabit merupakan pensyarah pergigian.

Justeru tertuduh telah membius Yildirim dan turut mencabut empat batang gigi depannya. Dia menegaskan keperluan gigi itu dicabut dan berjanji akan memberikan gigi palsu yang lebih baik untuknya.

Yildrim menahan rasa sakit ketika prosedur itu dijalankan dan telah membayar 1,000 lira Turki (RM161.70) seperti dipinta tertuduh. Dia kemudiannya pergi ke sebuah farmasi bersama preskrepsi yang telah ditandatangani tertuduh.

Bagaimanapun Yildrim mula rasa ragu setelah pekerja farmasi memintanya untuk membayar preskrepsi yang diterimanya itu. Menurutnya, segala kos sepatutnya ditanggung oleh insurans perubatannya.

Tetapi, pekerja farmasi itu berkata bahawa insurans hanya akan menanggung kos sekiranya preskrepsi itu telah dicop oleh doktor. Namun preskrepsi itu tiada cop rasmi doktor sekali gus membuatkannya tidak sah.

Tertuduh Dipenjarakan

Justeru Yildrim pergi ke klinik pergigian itu pada keesokan hari dan berjumpa dengan seorang doktor yang langsung tidak mengenalinya. Doktor yang bernama Ibrahim Levent C., keliru apabila Yildirim berkata bahawa dia telah diperiksa oleh ‘doktor’ (tertuduh) dan terus memberitahu perkara yang sebenar kepada Yildirim.

“Tertuduh adalah tukang cuci di sini. Dia datang mengemas dan mencuci pada setiap petang,” kata doktor itu kepada Yilidrim.

Menurut dokumen mahkamah, Hakan Yilidrim telah dimasukkan ke wad kecemasan kerana kesakitan pada giginya yang terlampau. Mukanya telah membekak dan terdapat kesan lebam di sekitar matanya.

Ketika perbicaraan di mahkamah, peguam Hakan Yilidrim iaitu, Oguzhan Er, telah memberitahu bahawa, “Tertuduh (namanya) adalah pesalah dalam kes ini.

“Selain daripada kecederaan pada dirinya, klien saya turut mengalami trauma secara psikologi. Oleh sebab itu, kami mahu- bayaran 100 ribu lira (RM16,169.66) kerosakan bukan kewangan pada tertuduh serta faedah,” kata peguam itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setengah ke atas tertuduh kerana melakukan tugas pergigian tanpa lulusan pengajian sah dan memaksanya untuk membayar pampasan kepada Yildirim atas trauma yang dialaminya.

Sumber: Oddity Central

BACA JUGA: Indonesia: Gunung Merapi Muntahkan Abu Setinggi 2,000 Meter

The post Menyamar Jadi Doktor Gigi, Tukang Cuci Dipenjara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*