Muhyiddin Saman Anwar RM200 Juta, Dakwa Difitnah Berhubung Isu Hutang Peneroka Felda

Muhyiddin saman Anwar isu Felda

Muhyiddin Saman Anwar RM200 Juta, Dakwa Difitnah Berhubung Isu Hutang Peneroka Felda

Ekoran isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin nekad memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin, 76, telah mengemukakan tuntutan saman itu di Mahkamah Tinggi pada Khamis menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership selaku plaintif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan tersebut.

Memetik Sinar Harian, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilaporkan menuntut ganti rugi teladan yang berjumlah RM200 juta pampasan.

Plaintif mendakwa bahawa Anwar telah memberi ucapan berbaur fitnah semasa sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang, Selangor pada 7 Julai yang lalu.

Ucapan itu dikatakan telah disiarkan secara langsung menerusi ‘Facebook Live’ rasmi Anwar Ibrahim sendiri.

Susulan kenyataan itu, Ahli Parlimen Pagoh kemudiannya telah menafikan kenyataan yang dibuat Anwar pada keesokan harinya.

Beliau menjelaskan bahawa pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion tersebut telah dilakukan pada 2021 yang lalu.

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin, kenyataan yang dibuatnya pada sebelum ini tidak diendahkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Anwar dikatakan terus memfitnah beliau ketika dalam satu sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana sesi itu turut disiarkan di laman Facebook yang sama.

Selain itu, Sesi Dialog UUM itu juga turut disiarkan secara langsung menerusi ‘YouTube Live’ Perdana Menteri tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mendakwa bahawa defendan telah memutarbelitkan dua kenyataan fitnahnya.

“Jelas sekali, Anwar mengakui bahawa pelupusan hutang peneroka telah dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri namun, beliau tetap meneruskan dakwaan palsu dan jahat terhadap saya.

“Sedangkan, ucapan Anwar mengandungi kenyataan yang jelas palsu, tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat terhadap saya,” katanya.

Tambahnya lagi, Ahli Parlimen Tambun itu tidak mengendahkan tuntutan yang dibuat oleh peguamnya dan terus menyebarkan fitnah berkaitan isu tersebut.

Ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Selangor pada 19 Julai lalu, defendan telah berucap untuk mengemukakan satu dokumen. Dokumen itu adalah bukti bahawa Anwar telah menandatangani pelupusan hutang tersebut.

Kata Muhyiddin, menerusi kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bertarikh 20 Julai lalu, Anwar telah mempamerkan dokumen tersebut.

Dokumen yang dinamakan sebagai ‘Assignment of Finance Service Reserve Account 1 (FSRA 1)’ bertarikh 26 Jun lalu.

Jelas Muhyiddin, dokumen itu ditandatangani oleh Anwar selaku Menteri Kewangan bersama satu lagi dokumen ‘Kerajaan Malaysia- Arahan Pembayaran’.

Dokumen itu telah ditandatangani Anwar pada 18 Julai lalu bagi jumlah peruntukan RM990 juta.

Pada hari yang sama juga, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan dokumen yang ditandatangani oleh Anwar itu.

Dokumen itu ialah mengenai Sukuk Felda sebanyak RM9.9 bilion berserta geran 10 tahun oleh kerajaan sebanyak RM990 juta setahun.

Justeru, beliau berkata ia adalah jelas bahawa dokumen berkenaan tidak menunjukkan pelupusan hutang peneroka yang dilaksanakan pada dua tahun lalu.

“Sama ada defendan jahil atau sengaja memanipulasikan hal Sukuk Felda (RM9.9 bilion) dan geran kerajaan (RM990 juta setahun), dengan pelupusan hutang yang dilaksanakan saya sebelum ini.

“Akibat penerbitan fitnah itu, ia menjejaskan integriti, nama dan reputasi saya kerana orang ramai mempercayai bahawa kenyataan fitnah berkenaan adalah benar,” katanya. 

Menurut Muhyiddin, kenyataan yang dibuat PM itu telah menyebabkan beliau dan keluarganya mengalami skandal awam.

Ia termasuk juga kebencian dan penghinaan secara umum oleh orang yang keliru dengan fakta yang diucapkannya.

Selain menuntut ganti rugi, Muhyiddin juga meminta Anwar untuk memadamkan semua video yang berkaitan dengan ucapannya itu serta-merta.

Permintaan itu termasuk injunksi untuk menghalang defendan, sekutu, ejen atau wakil daripada pihaknya dalam menerbitkan semula kenyataan tersebut.

Sumber: Sinar Harian

The post Muhyiddin Saman Anwar RM200 Juta, Dakwa Difitnah Berhubung Isu Hutang Peneroka Felda appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*