Nak Bahas Strategi Negara, Satu Lagi Debat Perdana Dianjurkan & Ini Penyebabnya

Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat program-program debat dianjurkan, terutamanya di peringkat nasional dan adakalanya turut disiarkan di televisyen.

Melalui debat, pihak-pihak yang tampil sebagai pendebat dapat ‘menjual’ idea dan mempertahan hujah yang dibawa.

Menariknya, di pentas debat jugalah ada masanya idea yang dibawakan pendebat sebenarnya sangat baik dan boleh memberikan impak serta kemajuan kepada negara.

Begitulah apa yang diharapkan oleh penganjur menerusi satu program debat yang berlangsung di DECTAR, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 21 Ogos lepas. Diberi nama Debat Perdana MADANI (DPM), program debat berkenaan merupakan DPM edisi sulung.

Program DPM ini merupakan program debat yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan untuk mengangkat wacana MADANI dengan lebih kritis dan kreatif.

Melalui penganjuran DPM ini, ia merupakan salah satu pendekatan yang diambil KPT dalam menyumbang ke arah kejayaan MADANI.

“Bagi pihak KPT, Debat Perdana MADANI ini adalah sebuah Projek Negara,” kata Menterinya, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menariknya, pendebat-pendebat yang dibawa terdiri daripada tokoh-tokoh cendekiawan dalam dan luar negara.

Untuk edisi sulung ini, antara tokoh yang dibawa adalah Dekan Kolej Pengajian Islam Hamad Bin Khalifa, Dekan Universiti Qatar, Profesor Dr Recep Senturk dan Guru Besar Politik Islam Global, Universitas Islam Negeri Jakarta, Syarif Hidayatullah dan Profesor Dr M Din Syamsuddin.

Manakala antara cendekiawan tanah air yang tampil di pentas yang sama adalah Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma dan Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr P Sivamurugan.

Rakyat Malaysia tentu tertanya-tanya kan, apa keperluan KPT menganjurkan DPM ini?

Pertama, Malaysia MADANI bukan berkenaan sistem nilai besar yang unggul semata-mata. Tetapi yang lebih utama, ia adalah seruan kebersamaan dalam memberikan yang terbaik untuk negara.

KPT sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, DPM adalah wadah untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.

Keduanya, DPM adalah adalah pentas untuk semua pihak memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia MADANI.

Melalui idea dan hujah oleh tokoh yang tampil di pentas DPM, rakyat Malaysia berpeluang melihat lebih jelas apakah kelebihan MADANI sebagai gagasan sebuah negara.

Malah, idea dan hujah yang ditampilkan juga dapat dinilai secara objektif apakah kekurangan dan lakuna gagasan MADANI, yang seharusnya diterima dengan lapang dada dan diperbetulkan.

Ketiga dan terakhir, KPT amat menghargai dan memberikan perhatian serius kepada semua pengamatan dan perspektif yang dilontarkan oleh pendebat.

Menurut YB Mohamed Khaled lagi, DPM menghimpunkan minda-minda besar di atas satu pentas yang terdiri daripada tokoh-tokoh yang dihormati, yang kaya dengan ilmu dan berpengalaman.

Walaupun KPT dan kerajaan jelas dengan nilai dan pendirian yang membentuk gagasan MADANI, namun hakikatnya pandangan, kritikan dan saranan daripada golongan bijak pandai masih diperlukan.

“Sebab itu pentas ini dibuka seluas-luasnya. Ia adalah ruang dan peluang kita mengutip segala nilai tambah yang ampuh dalam menjayakan Malaysia MADANI,” katanya lagi.

Justeru menurut KPT, DPM akan diangkat sebagai salah satu jalan penting dalam menjayakan gagasan besar negara berpandukan prinsip MADANI.

Selepas mendengar kupasan dan pandangan tokoh-tokoh yang dibawakan menerusi DPM, rakyat Malaysia berpeluang melihat dengan jelas apakah kelebihan MADANI sebagai gagasan sebuah negara.

Manakala idea dan saranan yang baik pula wajar diimplementasikan sebaik mungkin.

“Idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan, akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong,” kata YB Mohamed Khaled lagi.

Diharapkan penganjuran DPM dapat diteruskan dan menjadi acara tahunan yang seterusnya menjadi wadah kepada idea-idea baik untuk negara diketengahkan.

The post Nak Bahas Strategi Negara, Satu Lagi Debat Perdana Dianjurkan & Ini Penyebabnya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*