OPR Naik Atau Tidak, Realiti Urus Kewangan Secara Hemat Di Tangan Sendiri

OPR Naik Atau Tidak

OPR Naik Atau Tidak, Realiti Urus Kewangan Secara Hemat Di Tangan Sendiri

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) — Esok (19 Januari) akan menjadi detik tumpuan ramai rakyat negara ini, sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi atau mungkinkah Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak mengekalkan kadar semasa sehingga kesannya benar-benar reda.

Namun, persoalan utamanya, mampukah kita mempunyai OPR yang lebih menjurus untuk meningkat?

Kadar inflasi, khususnya makanan, meningkat 7.3 peratus pada November 2022 dan ia merupakan peningkatan bulan ke bulan yang tetap. Ini menyebabkan harga beberapa barangan melonjak lebih 100 peratus tahun lepas, sehingga mencetuskan perbincangan  serius mengenai jaminan makanan.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan 7.3 peratus bagi makanan adalah penyumbang utama kepada inflasi keseluruhan, diikuti pengangkutan yang meningkat 7.2 peratus seterusnya mengakibatkan kos logistik lebih tinggi.

Meskipun pelbagai usaha seperti menaikkan OPR telah dilakukan untuk mengawal tunai berlebihan dan menormalkan permintaan, realitinya adalah sehingga ke hari ini, orang masih menunggu situasi itu menjadi bertambah baik atau sekurang-kurangnya kurang memeritkan.

Kenaikan OPR boleh mengehadkan aliran tunai bagi orang biasa di jalanan terutama mereka yang mempunyai pinjaman kereta atau perumahan, atau kedua-duanya.

Bagi mereka yang membuat perjanjian pinjaman sebelum pandemik COVID-19, kadar faedah itu akan dinormalkan.

Malangnya bagi mereka yang membiayai semula pinjaman atau mendaftar baharu dalam tempoh tersebut, terutamanya untuk komitmen jangka panjang seperti pinjaman perumahan atau automotif, mereka akan mendapati keadaan ini menjadi amat sukar.

Begitu juga dengan pinjaman peribadi.

Kesimpulannya, kos pinjaman kini menjadi lebih tinggi kerana kos wang juga meningkat. Ini mengakibatkan mudah tunai kewangan semakin menyusut bagi ramai orang.

Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa normalisasi OPR adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan untuk memastikan pelaburan asing terus mengalir masuk pada kadar yang baik dan kadar pertukaran ringgit-dolar Amerika Syarikat dikekalkan dalam julat yang positif.

Ini memandangkan dolar AS adalah mata wang perdagangan global utama, dan seandainya ringgit terus rendah berbanding dolar AS, keburukannya bukan hanya berganda malah lebih daripada itu.

Kepentingan Celik Kewangan

Mengikut Laporan Risiko Global 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Tinjauan Pendapat Eksekutif (EOS), aspek seperti kos sara hidup dan inflasi ketara atau berterusan serta krisis hutang merupakan tiga risiko utama di Malaysia.

Laporan sama turut menyenaraikan kos sara hidup sebagai risiko global paling serius susulan tindakan penutupan ekonomi akibat pandemik COVID-19, gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine serta sekatan eksport dengan setiap satunya terbukti melonjakkan inflasi.

Ketua Pegawai Pelaburan Principal Asset Management Bhd, Patrick Chang berkata walaupun paras inflasi mengejutkan ramai di Malaysia dan global pada 2022, aspek seperti kenaikan agresif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) juga hanya meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran.

Bagaimanapun, Chang berkata keadaan itu dijangka menyederhana tidak lama lagi.

Chang turut mengakui terdapat banyak kebimbangan mengenai ekonomi pada 2022 dan berharap keadaan menjadi lebih biasa bagi Malaysia pada tahun ini.

Mengulas aspek simpanan, satu kajian RinggitPlus menunjukkan hanya tujuh daripada setiap 10 rakyat Malaysia menyimpan kurang dari RM500 sebulan dengan kebanyakannya tidak mampu menyimpan langsung.

Dalam keadaan sedemikian, apakah pilihan atau yang boleh kita lakukan? Mampukah kita untuk berjimat cermat dalam persekitaran yang menyaksikan keadaan sebegitu mencabar?

Ketika Malaysia menjadi sebuah negara menua, kalangan yang tidak lagi mampu untuk bekerja perlu berusaha lebih gigih untuk menabung, paling tidak pun sedikit setiap bulan demi masa depan apabila bersara kelak.

Apa yang penting, tiada jumlah simpanan yang boleh dilihat sebagai kecil. Bagi setiap Rm1 yang disimpan, itulah juga pulangan dan boleh menjadi penyelamat ketika waktu sukar selain pilihan termasuk aplikasi pelaburan Raiz yang boleh membantu.

Selain itu, adalah penting untuk mempunyai perancang kewangan bagi memanfaatkan lebih banyak peluang yang ada.

Namun, jika, keadaan tersasar atau di luar kawalan, adalah wajar untuk mendapatkan bantuan profesional seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu melaras semula kewangan anda.

Justeru, apa juga keputusan OPR esok, realitinya, kita perlu ‘bangkit’ bertindak mengukuhkan aspek celik kewangan serta persediaan bagi mengharungi keadaan demi masa depan sendiri.

Sumber: BERNAMA

The post OPR Naik Atau Tidak, Realiti Urus Kewangan Secara Hemat Di Tangan Sendiri appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*