Kadar Kemalangan Tempat Kerja Menurun Pada 2022, PERKESO Teruskan OPS Cegah Dengan Pendekatan Mesra Majikan

KUALA LUMPUR, 7 MAC 2023 – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini melancarkan Ops Cegah 2023, satu program yang menggunakan pendekatan mesra majikan (soft approach) bagi meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja terhadap pentingnya amalan budaya pencegahan kemalangan pekerjaan.

Dengan tema ‘Kebersamaan Mengurangi Risiko Kecederaan dan Kematian Pekerja’, Ops Cegah 2023 akan dijalankan selama dua minggu bermula 7 hingga 22 Mac 2023 secara serentak di seluruh negara. Program tersebut, yang julung kali diperkenalkan pada tahun lepas, telah merekodkan hasil yang menggalakkan dengan penurunan kadar kemalangan perjalanan (commuting accidents) dan kemalangan industri.

Hasil daripada Ops Cegah 2022, sebanyak 26 majikan telah terkeluar dari Senarai 100 Majikan Tertinggi Kemalangan PERKESO dalam kemalangan perjalanan. Mereka ini telah menunjukkan penurunan kadar kemalangan antara 12 hingga 80 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun 2021.

Di kalangan majikan yang masih dalam senarai pula, 22 peratus daripada mereka telah menunjukkan penurunan dalam kadar kemalangan perjalanan berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, 32 majikan telah berjaya keluar dari Senarai 100 Majikan Tertinggi Kemalangan PERKESO dalam kemalangan industri, dengan mencatatkan pengurangan kemalangan antara 6 hingga ke 80 peratus. 34 peratus daripada majikan yang masih dalam senarai pula, telah menunjukkan penurunan kadar kemalangan industri.

Bagi tahun ini, Ops Cegah 2023 dijalankan secara bersepadu oleh PERKESO menerusi semua Pejabat PERKESO di seluruh negara, bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan kali ini turut disokong oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tujuan utama Ops Cegah adalah untuk menyampaikan mesej mudah mengenai kemalangan pekerjaan yang merupakan tanggungjawab bersama dan perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana pekerja merupakan aset berharga kepada organisasi dan negara, termasuklah keluarga masing-masing.

Inisiatif meningkat kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi pencegahan kemalangan perjalanan dan industri secara soft approach ini melibatkan penyampaian maklumat, peluang serta ruang kepada pengurusan tertinggi syarikat untuk melaksanakan langkah pencegahan bagi menurunkan kemalangan pekerjaan dalam kalangan para pekerja mereka.

Usaha ini adalah seiring dengan matlamat Kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan pekerja, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25).

Ops Cegah juga bertujuan memberi panduan kepada majikan dan pekerja tentang amalan terbaik dan berkesan dalam menangani isu berkaitan KKP di tempat kerja dan ketika dalam perjalanan di jalan raya. Ia juga bermatlamat untuk memberikan penekanan kepada majikan dan pekerja bahawa kesedaran tentang kepentingan budaya pencegahan adalah asas perlindungan sosial.

Selain itu, PERKESO juga akan menawarkan majikan terbabit program-program pencegahan kemalangan di bawah PERKESO yang dilaksanakan oleh pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ops Cegah tahun kedua ini akan menyaksikan lawatan dibuat ke lebih 1,000 premis majikan di seluruh negara bagi melaksanakan sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat yang merekodkan kemalangan tertinggi berdasarkan senarai Top 100 dan Top 20 dalam tahun 2022.

Adalah menjadi harapan PERKESO agar pendekatan ini dapat meningkatkan lagi kesedaran majikan berkaitan isu-isu KKP di tempat kerja serta sewaktu perjalanan pergi dan balik kerja. Budaya pencegahan kemalangan pekerjaan perlu meletakkan keselamatan dan kesihatan pekerja sebagai keutamaan penting.

The post Kadar Kemalangan Tempat Kerja Menurun Pada 2022, PERKESO Teruskan OPS Cegah Dengan Pendekatan Mesra Majikan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*