PAS Tidak Buat Rayuan Keputusan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu

Pas tidak buat rayuan

PAS Tidak Buat Rayuan Keputusan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) — PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Datuk Ahmad Amzad Hashim, calon PAS bagi Parlimen Kuala Terengganu sewaktu pilihan raya umum yang lepas.

Menurutnya keputusan itu disahkan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat PAS Pusat yang sedang berlangsung di sebuah hotel di sini pada ketika ini.

“PAS bersedia untuk terus diadakan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, serentak dengan pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 12 Ogos nanti,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pada 27 Jun lepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BACA: Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah, Bekas Pemain Bola Sepak Pasukan Ternama Ditahan

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu Perakuan Hakim Pilihan Raya untuk mewartakan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihan raya.

Pada 3 Jan lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

Sumber: BERNAMA

The post PAS Tidak Buat Rayuan Keputusan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*